Konsortium Gamuda-MMC merupakan kontraktor utama untuk kerja-kerja terowong MRT2 yang memperoleh kontrak berkenaan pada 2016.

Keadaan itu menyebabkan Bursa Malaysia menggantung urus niaga proprietari (PDT) dan aktiviti jualan singkat (IDSS) terhadap kedua-dua syarikat tersebut untuk hari ini selepas didapati harga urus niaga terakhir yang diluluskan sekuriti tersebut susut lebih 15 sen atau 15 peratus daripada harga rujukan.

Bursa Malaysia dalam kenya­taan berkata, aktiviti PDT dan IDSS bagi Gamuda dan MMC hanya akan kembali memulakan daga­ngan pada keesokan hari (9 Oktober 2018) pada pukul 8.30 pagi.

Petang ini, saham Gamuda ketika ditutup susut 78 sen atau 24.3 peratus kepada RM2.430 sesaham manakala MMC pula jatuh 22 sen atau 16.3 peratus kepada RM1.130 sesaham.

Menurut CIMB Equities Research, keputusan yang dibuat kerajaan itu adalah mengejutkan dan akan memberi kesan yang besar kepada nilai projek Gamuda sekiranya ia gagal dalam tender antarabangsa yang akan dibuka tidak lama lagi itu.

Katanya, langkah itu akan membabitkan pengurangan sebanyak 23 peratus daripada kos asal kepada RM17.4 bilion tanpa melibatkan pembatalan sebarang stesen.

“Bagaimanapun, dengan melengahkan perincian mengenai kos rasionalisasi MRT2 dan juga penamatan atau tender semula bagi kerja bawah tanah ini, ia akan menjejaskan nilai projek kontraktor kerja-kerja awam MRT yang lain (dan bukan sahaja hanya Gamuda) termasuk IJM Corporation Berhad (IJM Corp.), Sunway Construction Group Bhd., WCT Holdings Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Di sebalik kelebihan kos logistik Gamuda, ia masih boleh dilihat jika syarikat tersebut mampu mengatasi pusingan tender terbuka antarabangsa, yang kemungkinan turut melibatkan kontraktor China,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

IJM Corp. adalah antara kontraktor yang memperoleh pakej kerja terbesar bagi projek MRT2 sebanyak RM1.5 bilion menerusi pakej jejambat dan stesen tanpa me­libatkan kerja-kerja bawah tanah.

Semalam, Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan berkaitan bahagian bawah ta­nah yang menyebabkan Kabinet memutuskan untuk kontrak kerja bawah tanah ditamatkan dan kesemua kerja bawah tanah yang belum disiapkan akan di tender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa.

Menurutnya, kerajaan berjaya menjimatkan RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada projek MRT2 melalui rundingan semula dengan rakan pelaksana projek (PDP), syarikat usaha sama MMC-Gamuda.

Projek MRT2 diluluskan oleh Kabinet pada 26 Februari 2014 dengan anggaran kos awal sebanyak RM28 bilion tidak termasuk yuran perunding, PDP, faedah pinjaman dan kos operasi Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTCo).

Bagaimanapun, kos MRT2 melambung kepada RM56.93 bilion akibat faktor seperti kelulusan Skim Kereta Api (yang membabitkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia, perubahan skop dan penurunan nilai ringgit.

Kos keseluruhan meliputi RM39.35 bilion kos pembinaan, RM6.18 bilion kos pengambilan tanah, RM360 juta untuk bas perantara dan kos depot, RM1.2 bilion kos lain dan RM9.84 bilion kos faedah sewaktu pembinaan.

Sementara itu, Maybank Kim Eng Research percaya perkembangan terkini itu akan menyebabkan keseluruhan penyia­pan projek MRT2 tertangguh sekurang-kurangnya setengah tahun daripada anggaran asal pada pertengahan 2022, berikutan proses tender semula pakej kerja bawah tanah.

Penganalisis Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei berkata, masih belum ada sebarang kepastian sama ada Gamuda-MMC dibenarkan untuk menyer­tai tender semula kerja-kerja bawah tanah MRT2.

“Tetapi, kami percaya usaha sama itu mempunyai kelebihan dari segi kos yang kompetitif jika dibenarkan menyertai pro­ses tender semula itu,” katanya.