Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research berkata, ini ke­rana pe­ngurangan kos sebenar sebanyak 38 peratus masih melebihi kuantum maksimum 22 peratus yang dicadangkan oleh syarikat kerjasama MMC-Gamuda dalam rundingan sebelumnya.

“Bagaimanapun, pengura­ngan sebanyak RM3.6 bilion da­lam harga kontrak bagi kerja-kerja bawah tanah ini adalah ku­rang memberi kesan yang teruk berban­ding anggaran pengurangan awal sebanyak RM6 bilion atau 60 pe­ratus daripada harga kontrak,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Konsortium MMC-Gamuda me­­rupakan kontraktor utama un­­tuk kerja-kerja terowong MRT2 yang memperoleh kontrak berkenaan pada 2016.

Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan projek MRT2 akan diteruskan oleh MMC-Gamuda selepas syarikat itu bersetuju memberi potongan kos yang lebih besar.

Sebelum ini, MMC-Gamuda bersetuju memberi potongan kos sebanyak RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah yang diterima oleh kementerian tetapi dengan tawaran potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah.

Bagaimanapun, selepas run­di­ngan kali terakhir dibuat, sya­rikat tersebut bersetuju menambah potongan kos bagi kerja bawah tanah daripada RM2.13 bilion kepada RM3.6 bilion.

Bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan, kecuali dua buah stesen bawah tanah iaitu Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) akan ditangguhkan. Jumlah ste­sen se­­karang ialah 33 stesen berban­ding 35 stesen dalam pelan asal.

Sementara itu, UOB Kay Hian berkata, pengurangan kos itu di­­­­buat dengan membatalkan dua stesen dan margin tersebut mungkin dikecilkan kepada di­git tunggal iaitu lima hingga enam peratus berban­ding 15 peratus sebelum itu.

“Margin yang dikurangkan akan menyebabkan pendapatan Ga­muda lebih rendah daripada di­jangkakan (berbanding sebelum dibatalkan) pada suku berikutnya, menghasilkan gabungan margin keseluruhan yang lebih tinggi pa­da tujuh peratus,” katanya.

Menurut Maybank IB Research, Gamuda dijangka menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang negatif bagi tahun kewangan 2019 hingga 2021 walaupun terdapat pertambahan pendapatan daripa­da pakej bawah tanah.

“Unit tidak terjual masih ke­kal dalam nilai projeknya pa­da masa depan dan begitu juga de­ngan konsesi lebuh raya. Ba­gaimanapun, ia mungkin digantikan dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” katanya.

Jelas firma itu lagi, dengan pembatalan dua stesen di Ban­dar Malaysia, ia mencukupi untuk menampung pengurangan kos sebanyak RM3.6 bilion dan menjangkakan baki pakej bawah tanah dapat disiapkan dengan margin lebih rendah.