Pengarah Projek, Datuk Ami­ruddin Ma’aris berkata, baki 38 pakej bernilai RM2 bilion adalah untuk pembinaan stesen, depoh, tempat letak kereta bertingkat, kontraktor dan pembekal yang ditetapkan serta penambahan sambungan akan diberikan pada tahun ini dan pada tahun 2018.

Beliau berkata, projek itu diyakini dapat disiapkan mengikut jadual asal apabila kini siap 5.3 peratus sejak Februari tahun lalu dan mengikut bajet yang ditetapkan.

Katanya, projek sepanjang 52.2 kilometer yang terdiri daripada 26 stesen laluan atas dan 11 stesen bawah tanah itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Julai 2022.

“Dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, saya begitu positif bahawa fasa pertama MRT laluan SSP antara Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu akan mula beroperasi pada bulan Julai 2021,” katanya dalam taklimat media mengenai MRT SSP di sini hari ini.

Amiruddin berkata, antara kerja-kerja yang sedang dijalankan bagi bahagian bertingkat ialah penempatan utiliti, pembersihan tapak, kerja cerucuk gerek, kerja tukup cerucuk dan kerja pembinaan tiang.

“Dengan kemajuan sebegini, kami pasti dapat melancarkan galang kotak bersegmen untuk membina jejambat bertingkat pada suku ketiga tahun 2017. Ini adalah pencapaian utama bagi kami,” katanya.

Menurut Amiruddin lagi, bagi kerja bawah tanah sepanjang 13 kilometer, kerja pembinaan berjalan lancar dan kini siap sebanyak enam peratus.

“Antara perkembangannya ada­­lah penempatan semula utiliti, ekskavasi kotak stesen dan syaf serta proses membaik pulih dan membuat Mesin Pengorek Te­rowong (TBM).

“Sebanyak 12 TBM akan digunakan dan daripada jumlah itu, lapan adalah mesin yang digunakan di Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang diubah suai, manakala empat yang tinggal adalah TBM baharu,” katanya.