Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Pakej Kerja V205 bagi pembinaan dan penyiapan jejambat dan kerja-kerja berkaitan dari Kampung Muhibbah ke Serdang Raya telah dianugerahkan kepada Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak seba­nyak RM858.18 juta.

Katanya, tender bagi Pakej Kerja V205 yang disediakan dalam kategori terbuka, telah bermula pada 1 November 2016 dan ditutup pada 12 Januari lalu.

Katanya, sejumlah lima syarikat telah mengemukakan tender dan syarikat yang berjaya juga telah dianugerahkan Pakej Kerja Awalan bagi pembinaan MRT Laluan SSP.

“Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. telah dianugerahkan kontrak bagi Pakej Kerja V206 untuk pembinaan dan penyiapan laluan jejambat dan kerja-kerja berkaitan dari Serdang Raya ke UPM bernilai RM952.088 juta.

“Bagi pakej ketiga, Pakej Kerja V209 untuk pembinaan dan penyiapan laluan jejambat dan kerja-kerja berkaitan dari Persiaran Alpinia ke Persiaran APEC dalam Kategori Bumiputera dianugerahkan kepada Acre Works Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak berjumlah RM715.993 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penganugerahan bagi tiga pakej telah dibuat selepas satu Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang membuat keputusan bagi nilai kontrak melebihi RM300 juta.

Sementara itu Shahril berkata, kontrak dengan nilai di antara RM50 juta kepada RM300 juta telah diputuskan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti II (OSPC II).

“OSPC II telah menganugerahkan Pakej Kerja S201 untuk pembinaan dan penyiapan stesen ber­tingkat dan kerja-kerja berkaitan di Damansara Damai, Sri Damansara Barat dan Sri Damansara Timur kepada Sunway Construction Sdn. Bhd. yang bernilai RM212.3 juta,” katanya.