Penganalisis HLIB Research, Jeremy Goh menyifatkan kedua-dua syarikat tersebut mempu­nyai banyak pengalaman dalam pembinaan rel terutama Gamuda yang memainkan peranan sebagai PDP bagi projek MRT1 dan MRT2.

Selain itu katanya, Gamuda juga mempunyai rekod yang baik bagi kerja-kerja bawah tanah untuk MRT1 dan MRT2, terowong bagi MRT Kaohsiung di Taiwan dan Landasan Berkembar Elektrik Utara.

“Dalam masa sama, MRCB pula terlibat sebagai PDP dalam projek LRT3 yang sedang berjalan dan membina bahagian tinggi bagi MRT2. Sebelum itu, ia terlibat dalam penyambungan laluan LRT Ampang.

“Jadi ini akan memberi kele­bihan kepada gabungan dua syarikat ini berdasarkan rekod mereka dalam pembinaan rel berbanding pembida lain. Bagaimanapun, mereka tetap akan menerima persaingan daripada kontraktor asing,” kata­nya dalam nota kajian di sini.

Kelmarin, MRCB dan Gamuda memeterai perjanjian untuk menubuhkan satu konsortium yang tidak diperbadankan pada asas 50:50 untuk terbabit dalam tender menjadi PDB bagi projek HSR.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, kedua-dua syarikat berkata, apabila mendapat tender itu, mereka akan menandatangani perjanjian muktamad bagi menetapkan hak dan obligasi setiap pihak berkaitan projek tersebut.

Sementara itu, CIMB IB Research menganggarkan skop PDP bagi HSR itu bernilai antara RM25 hingga RM40 bilion dengan tender akan dianugerahkan sekitar pertengahan 2018.

Katanya, kerjasama itu akan menyumbang secara positif ter­utama kepada kewangan MRCB.

“Sekiranya konsortium Gamuda dan MRCB berjaya memperoleh kontrak PDP ini, berdasarkan kiraan kami, ia akan memberi potensi pendapatan tahunan antara RM107 hingga RM171 juta kepada MRCB,” katanya.