Presiden PRCA Malaysia, Rozani Jainudeen berkata, pegawai perhubungan awam seringkali dilihat sebagai tulang belakang dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi dan kempen komunikasi syarikat tersebut.

MPRA yang juga anugerah tahunan persatuan berkenaan diadakan bagi mengiktiraf usaha terbaik setiap profesional perhubungan awam kepada industri.

“Melalui MPRA, kami bukan sahaja meraikan pencapaian signifikan kepada industri perhubung­an awam, malah meraikan proses transformasi dengan setiap tahun semua ahli PRCA Malaysia giat menghantar penyertaan.

“Konsultan perhubungan awam juga wajar mentakrifkan semula usaha komunikasi dengan menjadi lebih pantas menggunakan komunikasi digital kerana industri perhubungan awam kini meng­adaptasi kaedah baharu dalam ekosistem digital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MPRA 2016/2017 tahun ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila menerima 50 penyertaan dalam tujuh kategori merangkumi kempen perhubungan awam dalam pelbagai industri termasuk teknologi, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), kesihatan, pendidikan, syarikat penerbangan dan juga automotif.

Sebanyak 27 penyertaan berjaya menarik perhatian panel hakim yang terdiri daripada ahli korporat dan media berpenga­laman apabila menggunakan strategi perhubungan awam yang inovatif sekali gus menghasilkan sembilan pemenang Emas, 13 Perak dan lima Gangsa.

Seramai 200 tetamu jemputan terdiri daripada pegawai perhubungan awam daripada agensi dan jabatan komunikasi korporat organisasi hadir dalam anugerah yang diadakan di Connexion @ Nexus Bangsar South.

Mengulas lanjut, Rozani berkata, setiap penyertaan yang diteri­ma tahun ini berhak mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana disifatkan sebagai luar biasa.

“Dalam kita berusaha berubah dan melaksanakan proses transformasi dengan terus meneroka serta memahami pelbagai cabaran dan peluang dalam landskap digital, marilah kita bersama-sama be­kerja untuk terus membina jenama dan organisasi terbaik bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.