Dengan pelaburan awal sebanyak RM250,000 bagi membeli sebuah mesin yang diimport dari Jepun, siapa sangka hari ini MPM sudah memiliki sedemikian banyak mesin yang beroperasi tujuh hari seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Jaafar Othman memilih untuk memasuki segmen pemesinan kerana minat yang mendalam sejak beliau belajar di Sekolah Menengah Teknik Vokasional di Shah Alam, Se­langor.

Jaafar, 41, anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mengakui beliau sememangnya gemar berniaga sejak umur 12 tahun lagi bermula dengan mengumpul dan menjual kayu selepas waktu sekolah dan cuti sekolah.

“Saya bukan lahir dari keluarga senang malah saya pernah mencuba pekerjaan sebagai nelayan dan membuatkan saya mempersoalkan diri sendiri, ‘Sampai bilakah aku boleh me­lakukan pekerjaan ini?’

“Saya menyedari bahawa kemahiran dan pendidikan adalah kunci untuk berubah, seterus­nya mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan bekerja sebagai pengurus yang diberi pendedahan dengan kemahiran untuk menjadi seorang ketua,” katanya kepada Utusan Malaysia di kilangnya di Semenyih, dekat sini baru-baru ini.

Meskipun begitu, anak kelima daripada tujuh beradik itu tidak lama berkhidmat di situ menyedari semangat dan keinginan tinggi terhadap pemesinan. Beliau seterusnya memperluaskan kerjaya sebagai Pakar Pemesinan di syarikat terkemuka Jepun iaitu Omron.

Diberi peluang ke Jepun menjayakan proses pemindahan teknologi, Jaafar menghabiskan masa selama hampir enam tahun di sana untuk berkongsi kemahiran yang dipelajari dengan kakitangan Omron di Malaysia, Indonesia dan China.

Setelah menimba ilmu, kemahiran dan keyakinan, Jaafar pada waktu itu yang berumur 27 tahun meletakkan jawatan dan mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Beliau menyifatkan 2006 sebagai satu tahun gemilang buat perniagaan kamera dan cakera keras, tetapi mengambil kira perubahan teknologi, kumpulan berdepan saat genting sekitar 2013 susulan penurunan permintaan terhadap gajet itu.

“Saya sudah menjangka ini akan berlaku. Trend berubah, begitu juga teknologi justeru MPM bertindak mempelbagaikan perniagaan kepada segmen jam tangan, peralatan perubatan, makanan dan minuman (F&B) serta stesen jana kuasa.

“MPM juga berupaya berkembang selepas menerima geran dari RM180,000 daripada Sirim Bhd. di bawah program Sirim-Fraunho­fer yang membolehkan kami menambah baik mesin,” katanya.

Kini beroperasi di Taman Industri Mega, Semenyih, MPM berhasrat untuk menghasilkan bot dan enjin bot berbekalkan keupayaan pengeluaran diper­tingkatkan lebih 10 tahun.