Tidak dinafikan, sebagai seorang usahawan yang memiliki tujuh buah syarikat yang kesemuanya berkembang dengan pesat sehingga ke luar negara dan mampu membuka sebuah kilang di China membuktikannya antara individu korporat yang komited dan berjaya di negara ini.

Mohammad Razif berkata, pe­ng­a­lamannya da­lam bidang perniagaan selama 37 tahun itu bermula ketika beliau masih kecil lagi meskipun kanak-kanak seusianya menghabiskan masa dengan bermain-main di luar rumah.

“Perniagaan pertama saya ialah semasa kecil apabila ramai yang mahu menonton televisyen di rumah dan turut menyewakan basikal dengan sedikit bayaran. Segala-galanya bermula ketika itu lantas menjadikan saya sebagai seorang individu yang berfikiran ke arah perniagaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammad Razif berkata, resipi kejayaan dalam perniagaannya ialah dengan mempraktikkan 8 D dalam kehidupan seharian iaitu Dreams, Desire, Direction, Decision, Daring, Dedication, Determination, Discipline dan Doa.

“Mudah untuk seseorang membuka perniagaan namun tidak mudah untuk menjadi seorang usahawan. Oleh itu, usahawan perlu berani untuk bermimpi, berhasrat, mempunyai hala tuju terhadap perniagaan dan bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan.

“Malah, keberanian juga perlu ada dalam diri seorang usahawan dan seterusnya perlu menjadi seorang yang dedikasi terhadap kerja yang dilaksanakan, mempunyai keazaman dan displin yang tinggi serta tidak sekali-kali lupa untuk berdoa,” ujarnya yang juga Pengarah Urusan Malaysian Intelligence Meters Sdn. Bhd.

Katanya lagi, prinsip yang dipegangnya iaitu membuat sesuatu perkara atau kerja sehingga berjaya dan tidak berputus asa atau sekadar mencuba.

“Ini sikap yang perlu ada dalam setiap usahawan, kita tidak boleh sekadar mencuba namun harus menjayakannya. Selain itu, setiap usahawan perlu mengkaji kekuatan diri dan bukannya kelemahan diri sendiri,” tegas beliau.

Beliau yang dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan bersahaja dalam kalangan pekerjanya itu sememangnya disenangi oleh orang ramai sekali gus menjadikannya ketua yang disegani.

“Sebagai seorang ketua yang berkempimpinan baik, pekerja harus berkerja bersama-sama deng­annya dan tidak hanya bekerjasama dalam menstruktur dan memba­ngunkan syarikat,” ujarnya.

Mohammad Razif berkata, dalam menjadi sebuah syarikat yang terulung, syarikatnya amat mementingkan kualiti, berdaya saing dan mampu menyampaikan sesuatu produk dalam pasaran dalam keadaan yang baik.

“Syarikat-syarikat yang dijalankan oleh saya sememangnya memberikan kualiti produk yang terbaik, malah didatangkan dengan harga yang terbaik serta dapat disampaikan kepada pelanggan dalam keadaan yang baik sehingga mereka berpuas hati. Ini adalah yang amat ditekankan dalam syarikat saya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kejayaan yang dikecapinya itu bukanlah hasil perseorangan namun adalah usaha daripada seluruh warga organisasinya.