Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abd. Kadir berkata, setakat ini Pulsar NS muncul model paling laris untuk pasaran tempatan dengan jualan sebanyak 4,700 buah diikuti RS (2,800 buah), V15 (1,200 buah) dan Dominar (1,100 buah).

Menurut beliau, motosikal jalanan Modenas menguasai 40 peratus pasaran bagi kapasiti enjin bawah 1,000cc.

“Jualan motosikal Modenas dijangka meningkat berikutan perancangan untuk memperkenalkan dua varian tambahan bagi segmen jalanan dan moped (motosikal berkuasa 150cc ke bawah). Secara keseluruhan, Modenas menguasai enam peratus pasaran motosikal tempatan.

“Prospek pasaran motosikal negara pada 2019 dijangka berkembang antara dua hingga lima peratus didorong oleh soko­ngan kewangan dan pelancaran pelbagai model baharu sama ada daripada Modenas atau pesaing,” Katanya dalam Majlis Pelancaran Pulsar Dareventure di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Jualan Negara Bajaj Auto Limited, Anurag Sharma.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya akan memiliki 45 Pusat Servis Plus di seluruh negara menjelang Mac berbanding 15 pusat servis ketika ini dengan kos pelaburan sebanyak RM1.3 juta.

Katanya, pusat servis itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan khas termasuk mesin diag­nostik dan dikendalikan oleh mekanik yang terlatih.

Modenas juga akan mena­yangkan rancangan realiti, Pulsar Dareventure bermula 8 Februari di saluran YouTube Modenas.

Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang akan menyiarkan program tersebut selepas Peru, Sri Lanka dan Nepal. Pulsar Dareventure diper­kenalkan oleh Bajaj pada 2014.