Tampil dengan tema 'Jimat Poket, Penuh Bergaya' Kriss MR2 tidak hanya menawarkan harga mampu milik iaitu cuma serendah RM3,890 sebuah, tetapi turut dilengkapi enjin 4-lejang SOHC, sistem gear berputar, lampu sporty, rim aloi bersaiz 17 inci dan memenuhi semua piawaian Euro3.

Selain itu, Modenas juga menawarkan jaminan sehingga dua tahun atau 20,000 kilometer (km) kepada pengguna dan paling utama, Kriss MR2 benar-benar sebuah jentera 110cc yang amat menjimatkan khususnya dalam aspek penggunaan bahan bakar.

Ketua Pegawai Operasi Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, pihaknya yakin penguasaan Modenas dalam segmen 110cc akan meningkat kerana ketika ini permintaan terhadap motosikal mampu milik amat tinggi.

“Kami percaya bahawa enjin 4-lejang SOHC ini yang menepati piawaian baharu Euro3 akan menjadi daya tarikan kepada generasi muda yang mencari keseimba­ngan di antara motosikal berkuasa dengan nilai untuk wang,” katanya ketika merasmikan pelancaran Kriss MR2, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd. Kadir.

Menurut Abdul Harith, Modenas telah berjaya meningkatkan kecekapan teknikal pembuatan bagi memastikan kos operasi yang minimum dalam pembangunan Kriss MR2, sekali gus membolehkan penjimatan tersebut dipulangkan kepada pengguna dalam bentuk harga mampu milik.

Abdul Harith berkata, Modenas menyasarkan Kriss MR2 terjual antara 1,300 hingga 1,500 buah sebulan dan jika sasaran tersebut dicapai, peningkatan 10 peratus pe­nguasaan sasaran dalam segmen 110cc akan menjadi kenyataan.