YEAH KIM LENG
YEAH KIM LENG

Pakar ekonomi terkemuka, Dr. Yeah Kim Leng berkata, perkongsian strategik pengeluar motosikal tempatan itu dengan syarikat global merupakan satu cara untuk mencapai ekonomi yang meraih keuntungan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menembusi pasaran serantau serta global memandangkan saiz pasaran Malaysia yang agak kecil.

“Sasaran segera adalah untuk mengambil kesempatan dan bersaing di peringkat serantau kerana halangan perdagangan semakin dikurangkan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN,” katanya dalam satu temu bual di sini hari ini.

Syarikat Malaysia, sama ada dalam pembuatan atau perkhidmatan, perlu melihat pasaran di luar negara memandangkan persaingan se­ngit dalam sektor motosikal, kata Dr. Yeah, yang juga merupakan Pengarah Kajian Ekonomi di Universiti Sunway.

Modenas perlu memanfaatkan populasi Asia melebihi 600 juta orang, yang menawarkan peluang pertumbuhan besar memandangkan kecenderungan mereka yang gemarkan motosikal, katanya dalam kenyataan media yang mengandungi petikan daripada temu bual tersebut.

Kapasiti pengeluaran Modenas di kilangnya di Gurun pada 50 peratus dianggap rendah, itulah sebabnya mengapa kerjasama tersebut dijangka boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengurangkan kos.

Penggunaan kilang yang tinggi akan memberi manfaat sampingan seperti menyediakan peluang pekerjaan baharu, menambah baik rangkaian pengedaran, me­ningkatkan kemahiran pe­kerjaan serta menaikkan keuntungan.

Yeah berkata, keseluruhan rantaian bekalan juga berpeluang meraih untung termasuk vendor dan semua jenis perkhidmatan sokongan seperti khidmat sokongan pejabat, perakaunan, reka bentuk dan pengujian.

Semua ini akan menjadi sebahagian daripada keupayaan pembuatan yang akan termasuk semua perkhidmatan berkaitan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan, katanya.

Selain itu dengan pembangunan ekonomi sampingan kawasan setempat dan peningkatan pendapatan eksport bagi negara, ia akan membolehkan Modenas membuka cawangannya di negara-negara lain.

“Perkongsian penting memandang­­kan perubahan teknologi dan kemajuan dalam reka bentuk dan inovasi dalam sektor motosikal dan permintaan terhadap model baharu yang semakin kerap,” katanya.

Menyedari keperluan untuk memperbaharui modelnya dengan kerap, tahun lepas Modenas telah menjalin perkongsian strategik dengan Bajaj dalam usaha untuk memasuki segmen baharu dan menguasai semula pasaran motosikal tempatan.

Modenas membawa masuk tiga model Bajaj, iaitu V15, Pulsar NS 200 dan Pulsar RS 200 bagi segmen motosikal jalanan.
Ia juga membawa masuk model Dominar 400 Bajaj awal tahun ini.

Kerjasama dengan Bajaj itu adalah sejurus selepas kejayaannya be­kerjasama dengan jenama skuter Taiwan, Kymco, juga tahun lepas.

“Bekerjasama de­ngan syarikat global akan meningkatkan peluang pertumbuhan bagi syarikat Malaysia seperti Mo­denas,” katanya.

Be­liau berkata, kerjasama Mo­denas dengan Bajaj jelas bertujuan untuk menggunakan Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi menerajui usaha eksport syarikat itu ke negara-negara ASEAN.

“Daripada kerjasama itu kita boleh melihat strategi pelengkap antara pemain antarabangsa de­ngan syarikat tempatan yang akan mempunyai peluang besar untuk berjaya menembusi pasaran serantau.

“Kami melihat strategi ini sebagai situasi menang-menang bagi kedua-dua syarikat multinasional dari India itu dan juga syarikat Malaysia,” katanya.

Selepas mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara, beliau berkata, Modenas boleh kemudiannya bekerjasama dengan jenama motor antarabangsa lain bagi menembusi pasaran dunia yang semakin tanpa sempadan yang disokong oleh halangan perdagangan rendah. – BERNAMA