Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Abdul Rashid Musa berkata, buktinya dalam satu kaji selidik dijalankan di empat buah universiti pada Ja­nuari dan Februari lalu, 70 peratus pelajar mempunyai persepsi negatif terhadap jenama kereta nasional itu.

Kata beliau, kesemua mereka berpandangan sedemikian walaupun belum pernah memandu kereta Proton.

“Hanya lima peratus ada pe­ngalaman memandu kereta (Proton) milik keluarga atau rakan. Selebihnya hanya mendengar, membaca atau mengetahui berita tentang keburukan Proton daripada laman-laman sosial.

“Apa yang menarik, selepas diberi peluang memandu uji dan mengetahui teknologi kereta Proton mo­del baharu, kesemua mereka (70 peratus) ingin memiliki kereta berkenaan apabila tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) di Litar Unimap di sini, hari ini.

Pada majlis itu turut diadakan upacara penyerahan model kereta Proton Suprima S daripada Proton Edar Sdn. Bhd. kepada Unimap.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd. Kadir.

Abdul Rashid memberitahu, ramai yang tidak mengetahui ciri-ciri teknologi digunakan empat model baharu Proton iaitu Perdana, Persona, Saga dan Ertiga, sebalik­nya hanya membandingkan model sebelum ini.

“Kereta Proton terbukti mempunyai daya tahan lasak serta kurang penyelenggaraan dan maka sebab itu ia digunakan oleh pemandu teksi. Teksi menggunakan kenderaan itu sehingga mencecah lima kali daripada pengguna biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan pihak Modenas terpaksa mengambil langkah berhati-hati sebelum boleh mengeluarkan model baharu termasuklah Cafe Racer.

“Hasil kajian, tiada keperluan lagi (pengeluaran Cafe Racer) kerana pasaran belum begitu luas. Kita perlu pengeluaran antara 2,000 hingga 3,000, barulah boleh sesuatu model dikeluarkan,” katanya.