Di sebalik itu semua, Datuk Seri Vida adalah
seorang ahli perniagaan bonafide dan turut
dikenali serta diiktiraf dalam kalangan dunia
perniagaan sebagai seorang yang berwawasan,
cekal dan memiliki strategi perniagaan yang
teruji.

Hari ini, Datuk Seri Vida bersedia berkongsi
pengalaman dan aspirasi beliau untuk dijadikan
panduan serta motivasi bagi semua, menerusi
ruangan *Diva Vida* yang dikarang beliau
sendiri dan terbit setiap Sabtu di dalam Utusan
Malaysia.


– Pengarang Berita Ekonomi


MEMANDANGKAN ekonomi negara semakin kurang memuaskan dan perbelanjaan harian kian membebankan, ramai rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan sendiri. Ramai yang menjadikan wang sebagai alasan yang salah untuk memulakan perniagaan.

Ramai beranggapan setiap perniagaan hanya boleh dimulakan dengan adanya wang yang banyak bagi mendapatkan keuntungan yang besar tanpa risiko yang tinggi. Atau bolehkah kita berniaga tanpa modal dan de­ngan modal yang kecil bagi menjana keuntungan yang tinggi dan lebih selamat?

Berbekalkan pengalaman perniagaan yang terbuku di dada yang telah saya kutip ketika saya masih berumur 9 tahun sehingga kini, berikut adalah petua yang saya hendak kongsikan dengan pembaca Utusan Malaysia. Terdapat pelbagai cara bagi memulakan perniagaan yang boleh dilakukan tanpa modal dan tanpa menanggung kerugian yang ba
nyak.

Mula berniaga tanpa modal

Pada masa kini, kemudahan untuk menjalankan perniagaan adalah jauh lebih mudah. Pengiklanan pula boleh dilakukan hanya dengan bajet yang minimum. Anda boleh mulakan berniaga sebagai ejen Dropship untuk mengukur sejauh mana kemampuan pemasaran bagi sesuatu produk sebelum anda menghasilkan produk sendiri.

Sebagai ejen dropship, anda hanya perlu memasarkan se­suatu produk yang disimpan oleh pembekal atau pengilang. Setelah pembekal menerima bayaran, ejen dropship akan memaklumkan kepada pembekal.

Seterusnya, setiap penghantaran produk kepada pembeli akan dikendalikan dan ditanggung oleh pihak pembekal. Ejen dropship kemudian akan dibayar oleh pembekal di atas keuntu­ngan dalam bentuk komisen ataupun ejen dropship hanya perlu membayar harga kos produk kepada pembekal de­ngan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran. Dengan sistem dropship ini, anda dapat mengaut keuntungan dengan lebih mudah tanpa mengeluarkan apa-apa modal.

Syarikat saya sendiri turut mengaplikasikan sistem ejen Dropship bagi menggalakkan perniagaan dalam kalangan pengguna Vida Beauty, se­perti penuntut universiti dan ibu tunggal untuk menambah pendapatan bulanan mereka dengan memasarkan produk Vida Beauty tanpa mengeluarkan sebarang modal.

Dengan keuntungan yang diperoleh daripada sistem ini, mereka dapat menjana pendapatan dan mengumpul modal bagi membina perniagaan mereka sendiri tanpa perlu mengeluarkan modal yang tinggi melalui pinjaman bank atau tanpa me­minjam langsung daripada pihak bank.

Berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa

Perlukah dan berbaloikah kita meninggalkan kerjaya yang sedia ada untuk membina empayar perniagaan sendiri? Pada pendapat saya, perniagaan patut dimulakan ketika kita masih bekerja. Kita tidak perlu berhenti kerja dan berikan tum­puan penuh untuk perniagaan yang akan dijalankan. Buat saja terlebih dahulu secara sambilan. Gaji bulanan yang sedia ada, gunakan untuk menyara hidup dan keperluan yang lain, termasuklah sedikit modal untuk menjayakan idea perniagaan impian.

Kita juga tidak perlu membuat pinjaman yang banyak dan kemudiannya tertekan untuk mendapatkan pulangan secepat mungkin bagi membayar semula hutang yang banyak. Dalam zaman komunikasi serba canggih ini, kemudahan untuk mulakan perniagaan tanpa perlu berhenti kerja adalah sesuatu yang mampu dilakukan dan mudah dilaksanakan. Asalkan kita boleh bahagikan masa dan tidak lari daripada tanggungjawab yang diberikan dalam kerja makan gaji, tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Ambillah masa untuk membina empayar perniagaan sendiri secara perlahan-lahan. Perkara yang paling utama, jangan membuat sebarang pinjaman secara mengejut dan tanpa peranca­ngan. Akan tiba satu masa, perniagaan tersebut akan berkembang dan mampu menanggung diri serta keluarga untuk berhenti kerja dan anda dapat memberikan tumpuan pada perniagaan tersebut sepenuh masa.

Berniaga dengan modal kecil

Selain itu, anda juga boleh memulakan perniagaan dengan menggunakan modal yang kecil. Seperti saya, modal paling kecil yang pernah saya belanjakan adalah sebanyak RM50. Ketika itu, saya hanya menjual kain batik, telekung, sambal daging dan keropok yang saya beli dari pembekal di Kelantan. Keuntungan daripada jualan tersebut saya kumpul untuk dijadikan modal pusingan dan simpanan bagi menampung kos perbelanjaan saya semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Setelah habis pengajian di USM, saya menjadi tenaga pe­ngajar di sebuah sekolah di Ipoh. Ketika itu, saya berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam dan bazar Ramadan dengan modal yang saya ambil dari gaji bulanan saya. Keuntungan daripada jualan tersebut saya kumpul dan gunakan untuk menimba ilmu bagi membuka salun kecantikan saya sendiri. Saya dapat lihat perniagaan dalam bidang kecantikan mempunyai masa depan yang cerah dan serasi dengan minat saya. Bagi mencapai impian tersebut, saya telah mengikuti kursus dalam bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.

BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN