Wong Tuck Wai (duduk) dan Chris Martin bersama basikal pintar
Wong Tuck Wai (duduk) dan Chris Martin bersama basikal pintar  Mobike selepas majlis pelancarannya di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, baru baru ini.  Utusan/Mohd Shaharani Saibi

Pelancaran perkhidmatan itu dimulakan di kawasan Setia Alam, di sini yang turut mendapat sokongan serta kerjasama daripada syarikat pemaju harta­nah, SP Setia Berhad. 

Naib Presiden Pengembangan Antarabangsa Mobike, Chris Martin berkata, Malaysia merupakan negara ketiga yang mempunyai operasi Mobike selepas Singapura dan Thailand yang mempunyai perkhidmatan tersebut masing-masing pada Mac dan Ogos lalu. 

“Untuk permulaan ini kita beroperasi di kawasan Setia Alam dengan kerjasama daripada SP Setia serta pihak berkuasa tempatan (Majlis Bandaraya Shah Alam). Buat masa ini, kita mulakan dengan menyediakan 100 buah basikal pintar. 

“Kita akan rekodkan pelbagai data dari segi kekerapan penggunaan, bilangan pengguna, jarak perjalanan dan sebagainya untuk dianalisa bagi membantu perancangan bandar dalam menghasilkan infrastruktur dan operasi yang optimum. 

“Menggunakan data-data itu, kita kembangkan perkhidmatan ini di bandar-bandar lain seper­ti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dijangka pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pa­da majlis pelancaran perkhidmatan itu, di sini baru-baru ini. 

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Wong Tuck Wai. 

Mengulas lanjut perkhidmatan Mobi­ke itu, Martin menjelaskan ianya dijana menggunakan apli­ka­si telefon bimbit yang dibangunkan khas untuk membolehkan pengguna menggunakan basikal pintar dengan kadar sewaan RM1.50 setiap 30 minit.

Malah, setiap Mobike turut dilengkapi dengan teknologi kun­ci pintar serta sistem kedudukan sejagat (GPS) yang dihubungkan melalui rangkaian Internet of Things (IoT) atau Internet Saling Berhubung.

Ketika ini katanya, terdapat 100 juta pengguna Mobike yang berdaftar di seluruh dunia de­ngan 25 juta penggunaan setiap hari. 

Sementara itu, Tuck Wai ketika berucap mengalu-alukan operasi perkhidmatan Mobike di Setia Alam selaras dengan komitmen pihaknya untuk mewujudkan kawasan lestari yang bebas dari pencemaran dan kesesakan lalu lintas.