Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, ini tidak bermakna syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda Bhd. dan MMC Corporation Bhd. perlu menawarkan harga paling ­terendah.

Tetapi kata­nya,­ jika kos projek tersebut dapat diturunkan, tidak ada alasan lain mengapa kerajaan tidak akan mempertimbangkan MMC Gamuda.

“Sekiranya MMC Gamuda benar-benar mahu meneruskan kontrak kerja bawah tanah MRT2, penawaran harga pakej yang lebih murah adalah antara jalan penyelesaiannya.

“Jika MMC Gamuda telah berusaha memberi tawaran penjimatan terbaik, kerajaan juga perlu menyelamatkan ribuan pekerja yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut surat terbuka Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, beliau berkata, MMC Gamuda juga perlu lebih telus berkongsi data kos dengan jurutera konsultan untuk menjustifikasikan kos.

“Panel tender perlu terlibat sama meneliti butiran kos yang akan dibentangkan oleh syarikat terpilih pada masa akan datang,” katanya.

Menurut surat terbuka itu, MMC Gamuda yang telah bersetuju pada asal tetapi kemudiannya menolak berkongsi data kos dengan konsultan yang dilantik untuk menjelaskan kos kerana mendakwanya sebagai ‘rahsia perdagangan’.

“Kepada seramai 20,000 pekerja, seperti yang didakwa MMC, akan kehilangan pekerjaan mereka akibat penamatan kontrak, biar saya tekankan bahawa kerajaan Malaysia bukannya membatalkan projek tersebut.

“Anda akan menemukan banyak lagi peluang apabila projek baharu dijalankan pada kos yang lebih rendah, manakala penjimatan yang diperolehi bermakna lebih banyak projek akan dijalankan pada masa akan datang,” jelas Pua.

Sementara itu, ditanya bilakah tender berkenaan akan dibuka, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan mengumumkan perkara itu secara rasmi tidak lama lagi.

“Tunggu, kerajaan akan umum secara rasmi,” katanya kepada pemberita semalam.

Setakat petang ini, saham Gamuda susut 31 sen kepada RM2.070 sesaham manakala saham MMC pula jatuh empat sen kepada RM1.120 sesaham.