Menurut MIDF Research, se­kiranya kedua-dua entiti ber­ke­naan boleh mengurangkan kos pembinaan kerja ba­wah ta­nah, ia pastinya akan memberi hasil yang positif.

“Ini mengambil kira penglibatan awal syarikat kerjasama ini dalam projek tersebut dan juga kelebihan kos yang kompetitif yang dapat dicapai berbanding tawaran tender kepada pembida yang berpotensi oleh kontraktor lain.

“Oleh itu, kami tidak meno­lak kemungkinan Gamuda-MMC akan mengambil bahagian dalam proses tender ini jika persetujuan dicapai,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Semalam, Gamuda dalam mak­­­luman kepada Bursa Malaysia memberitahu MMC Ga­muda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) yang merupakan sya­ri­kat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC tidak mene­rima sebarang pemberi­ta­huan rasmi berhubung pena­matan kontrak bawah tanah MRT2 oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. atau kerajaan.

Syarikat usahasama itu te­lah terlibat dalam perbinca­ngan dan rundingan dengan Ke­menterian Kewangan sejak dua bulan lalu untuk mengkaji skop kerja dan spesifikasi projek dengan matlamat mencapai kompromi pengurangan kos.

Berikutan penamatan kontrak tersebut, ia dijangka me­ng­akibatkan kehilangan kerja ke­pada lebih 20,000 tenaga pekerja terlibat dalam kerja-kerja bawah tanah daripada rantaian bekalan lebih 600 sya­rikat Malaysia. Daripada jumlah itu, lebih daripada 3,000 adalah kakitangan usaha sama MMC Gamuda dan lebih daripada 60 peratus adalah bumiputera.

Saham Gamuda dan MMC se­malam menyusut lebih 15 pe­ratus sehingga Bursa Malaysia menggantung urus niaga proprietari (PDT) dan aktiviti jualan singkat (IDSS) terhadap kedua-dua syarikat tersebut sebelum kembali memulakan urus niaga pagi tadi.

Setakat petang ini, saham Gamuda susut lima sen atau 2.06 peratus kepada RM2.380 sesaham manakala saham MMC pula meningkat tiga sen atau 2.65 peratus kepada RM1.160 sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, memandang­kan kerja bawah tanah kini mencapai 39 peratus siap, proses penamatan dan tender semula akan menjadi lebih rumit dengan garis masa untuk proses tersebut akan ditentukan sebaik sahaja butiran disahkan.

Sementara itu, penganalisis Ambank Research, Joshua Ng berkata, syarikat korporat di Ma­laysia (termasuk Gamuda) mendapat satu pengajaran pa­ling berguna, adalah penting untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan di sebalik memaksimumkan keuntungan untuk pemegang saham.

“Ini termasuklah menyediakan perkhidmatan dan produk yang bagus kepada rakyat pada nilai harga terbaik. Walaupun, MMC Gamuda menyatakan ber­­sedia untuk berbincang sekali lagi dengan Kementerian Kewangan kerana menyifatkan jurang kos yang terkini adalah jumlah yang tidak dapat dikawal, tetapi segala-galanya ter­pulang kepada kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tetap berhati-hati dengan prospek sek­tor pembinaan meman­dangkan kerajaan mengurangkan pembangunan projek infrastruktur awam dalam usaha mencapai keseimbangan fiskal.