Katanya, UWEC MMMI di­jangka boleh menjalankan latihan sebanyak tiga sesi selama setahun dan mampu menampung sehingga 10 orang pelajar bagi setiap sesi.

Menurutnya, perkhidmatan kimpalan dalam air memiliki permintaan yang tinggi daripada syarikat minyak dan gas (O&G) di dalam mahupun luar negara.

“Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor misalnya memerlukan kira-kira 300 jurutera kimpalan dalam air membuktikan potensi tinggi sektor itu.

“Kursus kimpalan dalam air mengambil masa kira-kira dua minggu dengan kos yuran bernilai RM25,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bangi, dekat sini baru-baru ini.

Penubuhan UWEC MMMI melibatkan kos pelaburan kira-kira RM500,000 termasuk perbelanjaan peralatan yang diimport dari luar negara.

Menurut Mahadi, pusat latihan tersebut ketika ini sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memudahkan para pelajar yang berminat menjadi pengimpal profesional dalam air untuk mencari dan mendapatkan bantuan kewangan daripada mana-mana yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kini, mana-mana syarikat­ boleh menghantar kakita­ngan untuk menjalani latihan di UWEC MMMI kerana kos latihan boleh dituntut daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF),” jelasnya lagi.

MM Matrix Integrity, syarikat bumiputera berkaitan perkhidmatan O&G telah ditubuhkan pada 2011 dan mula beroperasi secara aktif pada 2015.

Syarikat itu merupakan penjual tunggal penyelesaian integriti struktur dari luar negara seperti Scanimetrics, Scanimetrics, Speciality Welds dan Weldcraft Pro.

MM Matrix Integrity merupakan antara penerima Anugerah PKS Baharu Terbaik (Pertumbuhan Terbaik) daripada Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan baru-baru ini.