Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, MITEC dirancang dan dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

“MITEC merupakan contoh kejayaan dalam kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan. Kami berbangga dengan penyiapan kemudahan ini sekali gus membuktikan keupayaan kumpulan untuk me­nyempurnakan projek infrastruktur utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan bangunan MITEC kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.

MITEC merupakan kompo­nen pertama daripada projek bercampur KL Metropolis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM20 bilion ditetapkan untuk menjadi pusat perniagaan dan komersial utama serta hab korporat bertaraf antarabangsa.

Mercu tanda berprestij baharu itu dibina dalam tempoh empat tahun tiga bulan bersaiz binaan 139,354.56 meter persegi dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan pameran, pusat media, bilik mesyuarat, restoran dan kafe.

Ia juga terletak di lokasi strategik iaitu di kawasan Kompleks Kerajaan Jalan Duta, di sini berhampiran dengan ba­ngunan MITI, menara Matrade, Mahkamah Tinggi, Masjid Wi­layah Persekutuan dan Istana Negara.

Tahun lalu, industri MICE negara menarik seramai 111,298 dele­gasi ke 153 acara dan menjana perolehan sebanyak RM1.035 bilion. Menjelang 2020, pelancongan perniagaan dijangka menyum­bang RM3.9 bilion kepada Kelu­aran Dalam Negara Kasar (KDNK).

MITEC akan beroperasi buat pertama kali sebagai gelanggang Sukan SEA 2017 (KL2017) dengan sebanyak sembilan acara antaranya gimnastik, angkat berat, bola tampar, ping pong, muay thai, tinju dan lawan pedang.