Seri Cemara menyertai empat kapal pengangkut LNG jenis sama iaitu Seri Camellia, Seri Cende­rawasih, Seri Cempaka dan Seri Camar dalam pajakan jangka panjang kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Pengerusi MISC, Datuk Ab. Halim Mohyiddin berkata, kapal LNG generasi baharu itu adalah sebahagian daripada program jangka panjang MISC untuk memenuhi keperluan pengangkutan tenaga daripada Petronas.

“Kapal ini telah direka dengan keupayaan untuk berdagang di seluruh dunia yang memboleh­kannya singgah di semua terminal LNG utama dunia dan lengkap dengan keupayaan muatan di unit LNG Terapung (FLNG).

“Kapal ini juga penting buat MISC kerana mewakili komitmen kami untuk menjalankan perniagaan dengan bertanggungjawab dan lestari, selain memastikan penciptaan nilai optimum dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penamaan dan penyerahan kapal tersebut yang diadakan di Limbungan Kapal HHI di Ulsan, Korea Selatan hari ini.

Turut serta, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; isteri Wan Zulkiflee yang juga penaja kapal itu, Puan Sri Dr. Azura Ahmad Tajuddin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Yee Yang Chien dan Naib Presiden Eksekutif Kanan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HHI, H. D. Shin.

Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata, Petronas komited menyediakan bekalan tenaga yang selamat serta boleh dipercayai dan oleh itu penting untuk mempunyai armada kapal yang cekap bagi memenuhi keperluan pe­langgan.

“Seri Camara bersama empat kapal ini mencerminkan sinergi jangka panjang MISC dengan perniagaan LNG Petronas, dikukuhkan dengan semangat kerjasama dan kejayaan berterusan dalam kumpulan Petronas,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Chien berkata, MISC dan Petronas telah bekerjasama sejak 35 tahun dahulu iaitu pada hari MISC meneroka segmen penghantaran LNG dan sehingga kini kedua-dua syarikat itu telah berkembang pesat.