Sebenarnya selepas tamat belajar saham di peringkat lanjutan lebih-lebih lagi ilmu yang memberikan penekanan kepada urus niaga jual beli saham secara aktif atau untuk tempoh waktu yang singkat, perlu pemantauan dan bimbingan untuk satu tempoh masa.

Tempoh masa untuk bimbi­ngan atau sokongan daripada tenaga pengajar selepas tamat hadir kelas lanjutan ialah sekurang-kurang­nya tiga bulan. Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar adalah seorang yang tidak tahu apa-apa langsung tentang pasaran saham, tempoh yang ideal ialah lima atau enam bulan sahaja.

Walaupun begitu, tempoh yang mencukupi bagi seseorang yang pertama kali belajar saham secara formal ialah selama satu tahun. Satu tahun di bawah bimbingan dan pemantauan dengan syarat pelajar perlu hadir ke semua kelas yang dianjurkan atau yang diajar oleh tenaga pengajar atau jurulatih yang sama.

Tempoh dua tahun adalah tempoh yang sebenarnya untuk menjadikan seseorang yang tiada apa-apa pengetahuan tentang saham kepada seorang pedagang atau pelabur yang matang dan mahir kerana dalam tempoh dua tahun ini pelajar tersebut akan membuat kesilapan dan mengalami kerugian.

Tempoh dua tahun ini sudah cukup memberikan pengalaman kepada seseorang yang baru i­ngin berjinak-jinak dalam pasaran kerana tempoh dua tahun ini boleh dikatakan agak lama.

Pelabur atau pedagang baharu dapat banyak pengalaman dari segi melihat turun naik pasaran, mengikuti perkemba­ngan semasa dunia saham dan ekonomi, melihat faktor-faktor persekitaran yang mempenga­ruhi turun naik harga saham, melihat sentimen pasaran serta telah dapat membiasakan diri membuat beli dan jual saham.

Dalam proses dua tahun ini juga, pelabur atau pedagang saham tentunya telah membuat kesilapan atau mengalami kerugian. Ini merupakan satu pe­ngalaman dan pengajaran untuk menghadapi masa-masa akan datang.

Sekiranya seseorang pelabur dan pedagang saham itu masih mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, dia seharusnya akan menyedari kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan yang menjurus kepada kerugian dalam pelaburan.

Juga, dalam tempoh dua tahun ini, pelabur dan pedagang saham banyak mendapat ilmu atau input baru tentang pasaran. Sebagai contoh kemungkinan ada lain-lain perkara yang tidak diberitahu dahulu akan diberitahu kemudian di dalam tempoh dua tahun ini. Ataupun adanya perkara-perkara baharu yang diperkenalkan di dalam pasaran modal akan dikemaskini kepada pelabur tersebut.

Dalam tempoh dua tahun ini jika mendapat bimbingan dan pemantauan daripada tenaga pengajar, pelajar tersebut bakal menjadi seorang pedagang atau pelabur yang boleh berdikari dan mahir dalam saham walaupun bukan semahir seorang pakar.

Pendek kata, pedagang dan pelabur ini telah melalui zaman sukar dan telah dapat bertahan dalam tempoh dua tahun tersebut. Justeru, tahun-tahun seterusnya tidak lagi merupakan waktu sukar dalam mengharu­ngi turun naik pasaran.

Permasalahan yang timbul di sini ialah, agak kurang tenaga pengajar yang sanggup beri bimbingan dan tunjuk ajar dalam tempoh satu atau dua tahun secara berterusan lebih-lebih lagi jika perkhidmatan tersebut adalah percuma.

Maka, orang ramai perlu bijak untuk mencari satu sistem pendidikan yang berterusan yang boleh membantu anda untuk menjadi seorang pedagang atau pelabur yang berjaya.

Selain daripada kursus-kursus atau ceramah saham yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia, SIDC dan syarikat broker saham, terdapat juga kursus-kursus yang dianjurkan oleh orang perseorangan dan pihak swasta termasuk yang dilakukan oleh remisier dan dealer yang merupakan individu yang berlesen dan diiktiraf.

Justeru, orang ramai perlu mendapatkan maklumat tentang modul pembelajaran, tempoh masa belajar, khidmat bimbingan dan sokongan serta harga yuran kursus-kursus. Sekiranya terdapat apa-apa kemusykilan atau keraguan, orang ramai boleh rujuk terus kepada Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti untuk mendapatkan nasihat tentang kursus-kursus pendidikan saham ini.

Ini disebabkan terdapatnya keresahan daripada orang ramai yang menghubungi Cikgu Saham memberitahu tentang sesetengah kursus yang tidak sepadan dengan yuran yang dikenakan dengan modul yang diajar itu.

Maka, orang ramai perlulah mendapatkan maklumat yang secukupnya sebelum membuat keputusan hadir mana-mana kelas atau seminar saham.

Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham di pasaran Bursa Malaysia, sila hubungi talian 019-2352037