Pengurus Pemakanan Kategori, Nestle Products Sdn. Bhd., Nurul Illiani Ahmad berkata, FAF akan memanfaatkan wang tersebut bagi melaksanakan program penajaan sarapan pagi kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik di tujuh lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, kutipan diambil daripada sebahagian bayaran tiket individu dan keluarga bagi acara-acara larian Hari Sarapan Malaysia Milo 2018 yang diadakan di tujuh lokasi iaitu Kuching, Kota Kinabalu, Kuantan, Pulau Pinang, Johor Bharu, Kota Bharu dan Putrajaya.

“Sarapan pagi adalah sajian paling penting dalam sehari dan setiap orang tanpa mengira status berhak mendapat akses kepada sarapan pagi yang sihat dan seimbang.

“Kami bertekad mendekati keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik untuk memastikan mereka memahami manfaat bersarapan,” katanya kepada pemberita dalam program Hari Sarapan Malaysia MILO 2018 di Padang Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Beliau berkata, penganjuran program di Kota Bharu hari ini yang berjaya mengumpul 5,300 peserta dan pengunjung merupakan lokasi keenam manakala acara kemuncak dijadual berlangsung di Putrajaya pada 11 dan 12 Ogos ini.

Jelasnya, selain acara larian sejauh tiga kilometer, para peserta turut dibekalkan dengan sarapan pagi diikuti pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, permainan tradisional serta demonstrasi penyediaan sarapan sihat oleh chef selebriti, Brian Chen.

“Kami bangga dengan penyertaan ramai penduduk negeri ini yang memberi sambutan cukup hebat. Dalam program sama tahun lalu sebanyak 4,400 peserta telah mengambil bahagian tetapi kali ini jumlahnya melebihi 5,000 orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE