Ini berikutan PNB mungkin melepaskan pegangannya sebanyak 100 peratus susulan cadangan MIDF untuk bergabung dengan Al Rajhi Banking & Investment Corp (M) Bhd.

Melihat potensi transaksi itu, seorang penganalisis bank pelaburan tempatan berkata, sehingga September 2018, dana pemegang saham dalam MIDF berjumlah RM1.7 bilion.

Katanya, ia akan bergantung kepada struktur penggabu­ngan itu melibatkan entiti di bawah MIDF seperti perbankan pelaburan, pengurusan aset, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana dan kewangan Islam.

Jelas beliau, berdasarkan nilai aset MIDF Investment Bank Bhd. pada 2015 yang bernilai RM750 juta, ia boleh menjadi lebih tinggi buat masa ini. MIDF sendiri bernilai RM1.7 bilion.

“MIDF dan Al Rajhi akan melengkapi di antara satu sama lain kerana kepakaran masing-masing dalam perbankan pelaburan dan pengurusan kekayaan seterusnya perbankan komersial.

“Penggabungan ini dilihat tidak menyebabkan penyusunan semula besar-besaran ke­rana tahap pengurangan pekerja akan lebih rendah berbanding penggabungan Malaysia Building Society Bhd. dan Asian Finance Bank Bhd.,” katanya kepada The Malaysian Reserve di sini hari ini.

MIDF semalam telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan perbincangan berhubung cadangan penggabungan dengan Al Rajhi.

BNM telah mengeluarkan surat menyatakan tiada bantahan daripada pihaknya bagi MIDF dan pemegang saham tunggalnya, PNB untuk memulakan rundingan dengan Al Rajhi, Kerajaan Arab Saudi (Al Rajhi KSA) berhubung penggabungan itu.

Menurut penganalisis itu lagi, cadangan penggabungan boleh memberi skop yang lebih luas kepada pertumbuhan Al Rajhi, yang menghadapi beberapa tahap sekatan sebagai bank asing.

Tambahnya, skop pertumbuhan kini adalah terhad dan mereka perlu mencari jalan lain untuk terus berkembang, membuka lebih banyak cawangan dan mempunyai penembusan yang lebih luas.

“Sesetengah pi­hak pemerhati industri melihat penggabungan yang dicadang­kan itu boleh menjadi tanda bahawa bank milik Asia Barat dalam segmen perbankan Islam sedang menghadapi masalah dalam mencari peluang pertumbuhan dan kualiti aset di­sebabkan oleh persaingan se­ngit daripada pesaing tempatan dan peraturan bank pusat.

“Cara menjalankan perniagaan perbankan Islam di Malaysia mungkin tidak sama seperti di Asia Barat,” katanya.

Al-Rajhi memiliki aset seba­nyak RM7.78 bilion dan merekodkan untung bersih sebanyak RM5.8 juta bagi suku ketiga berakhir September 2018.