Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, pelaburan terbesar disumbangkan oleh Longi, gergasi solar utama yang mengeluarkan jongkong solar, sel-sel wafer dan modul.

Katanya, kewujudan teknologi tinggi dan pemain solar yang mantap adalah penting untuk melengkapkan keseluruhan ekosistem industri solar di Malaysia.

Jelas beliau, Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam industri fotovoltan (PV) solar sejak sedekad lalu yang menghasilkan pertumbuhan perniagaan dan peluang pekerjaan baharu.

“Sehingga 2015, 48 projek solar telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion untuk menghasilkan wafer solar, sel-sel, modul dan sistem komponen.

“Daripada jumlah ini, 95.3 peratus pelaburan asing, manakala 4.7 peratus (sumber domestik). Projek tersebut telah menghasilkan lebih 26,700 peluang pekerjaan kepada negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kaji selidik dijalankan oleh MIDA, eksport dan aktiviti penyumberan tempatan oleh syarikat solar utama di negara ini pada 2016 masing-masing bernilai RM11.1 bilion dan RM1.42 bilion.

Terletak di Zon Perindustrian Sama Jaya, Sarawak, projek Lo­ngi bernilai RM1.06 bilion tersebut akan mewujudkan 2,360 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, menurut Azman, meskipun ekosistem menyeluruh adalah magnet kepada pelabur, MIDA sedar bahawa rantaian bekalan yang kuat juga penting untuk menyokong industri bagi mengekalkan persekitaran perniagaan kondusif.

“Ke arah matlamat ini, MIDA sedang melipatgandakan usaha untuk membina keupayaan tempatan bagi memajukan lagi bidang seperti integrasi sistem yang merupakan bahagian penting dalam rantaian nilai sistem PV,” katanya.