Lembaga Pembangunan Pe­laburan Malaysia (MIDA) berkata, nilai projek itu adalah pe­ningkatan sebanyak 17.7 peratus berbanding RM68.2 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun lalu dalam bentuk 2,346 projek yang diluluskan untuk tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan yang kompetitif untuk pelabur asing biarpun berdepan dengan persaingan yang semakin meningkat dan cabaran persekitaran luaran.

Pelaburan asing turut me­ningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM26.5 bilion pada separuh pertama 2018 berbanding RM19.6 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

“Peningkatan pelaburan asing dilihat terutama dalam sektor perkilangan dan utama.

“Sementara itu, pelaburan domestik membawa RM53.7 bilion, menyumbang 67 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor.

“Prestasi pelaburan domestik juga menyaksikan kenaikan 10.5 peratus daripada RM48.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sektor perkhidmatan terus menyumbang bahagian terbesar pelaburan diluluskan, menyumbang 63.5 peratus atau RM50.9 bilion.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, 2,025 projek telah diluluskan dan dijangka mewujudkan lebih daripada 33,970 peluang pekerjaan serta majikan yang berpotensi besar dalam ekonomi.

“Pelaburan domestik merupakan bahagian terbesar, mencatatkan RM44.9 bilion atau 83.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan dalam tempoh ini. Selebihnya atau RM6 bilion adalah daripada sumber asing,” katanya.

Sementara itu sektor perkilangan negara kekal berdaya tahan dan merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM20.2 bilion daripada 287 projek pembuatan bagi separuh pertama 2018 berbanding RM16.7 bilion daripada 299 projek pembuatan dalam tempoh sama tahun lepas.

Peningkatan 21.2 peratus dari segi nilai pelaburan adalah petunjuk bahawa projek berintensifkan modal mendominasi landskap pembuatan Malaysia.

Bagi separuh pertama 2018, pelaburan asing dalam projek perkilangan yang diluluskan meningkat sebanyak 63.1 peratus kepada RM15.2 bilion berbanding RM9.3 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, sekali gus mencerminkan daya saing negara sebagai lokasi pilihan untuk pelaburan.

China menyumbang RM6.5 bi­lion atau 43 peratus daripada jumlah pelaburan asing, diikuti Korea (16 peratus), Jepun (10 pera­tus), Singapura (lima peratus) dan Perancis (empat peratus).