AZMAN MAHMUD
AZMAN MAHMUD

Portal i-Incentives ialah pusat sehenti untuk maklumat menyeluruh mengenai kesemua insentif yang ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi berhubung bidang pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

MIDA berkata, portal berkenaan bersifat dinamik kerana ia responsif terhadap pengumuman berkenaan insentif baharu dan skim bantuan yang ditawarkan kerajaan, sekali gus membolehkan komuniti perniagaan mendapat maklumat masa nyata berhubung kemudahan terkini yang disediakan.

Portal yang dilancarkan pada Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, 26 Feb lepas itu, pada masa ini memaparkan 212 skim insentif yang diuruskan 12 kementerian dan 28 agensi kerajaan.

Kira-kira 55 peratus daripada insentif ini memenuhi keperluan sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan sebanyak 33 peratus dan sektor utama sebanyak 12 peratus.

Insentif ini termasuk pengecua­lian cukai, geran, pinjaman mudah dan lain-lain bentuk insentif seperti pembiayaan ekuiti, status dan latihan penubuhan serantau serta program pemudah cara.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, agensi berkenaan melalui Pejabat Penyeragaman dan Penyelarasan Insentif (ICCO), bekerjasama dengan pihak berkepentingan membangunkan portal i-Incentives, yang menekankan mengenai komitmen MIDA dalam mempromosikan ketelusan dan menyediakan kemudahan dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.

Insentif berkenaan ujarnya, terutama untuk perniagaan strategik dan berimpak besar, di­sasarkan bagi menggalakkan dan menyokong pihak industri untuk mengambil risiko dan meningkatkan rantaian nilai.

Portal berkenaan juga akan me­laksanakan sistem pengurusan insentif yang lebih efektif dan memacu prestasi, dengan itu mengukuhkan lagi strategi insentif yang bersepadu bagi mencapai agenda ekonomi dan pelaburan nasional, katanya.

Portal i-Incentives boleh diakses di https://incentives.mida.gov.my.

ICCO yang dilancarkan pada 2015, diberi mandat untuk memperbaiki pusat koordinasi semua jenis tawaran insentif berkaitan pelaburan yang akhirnya akan meningkatkan mekanisme insentif kerajaan dengan meningkatkan ketelusan, mengelakkan pertindihan dan mengaitkan dengan prestasi. – BERNAMA