Namun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ini yang dilihat kebanyakan media sebagai berjiwa Malaysia, sentiasa optimis MAB akan kembali semula dalam arena penerbangan global dan menjadi jenama yang kukuh.

Beliau turut mengakui dua tragedi yang menimpa Malaysia Airlines, MH370 dan MH17 akan menjadi satu perkara yang sukar dilupakan tetapi dalam masa sama menjadi pemangkin untuk kembali membina Malaysia Airlines.

Ikuti wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON barubaru ini mengenai harapan beliau terhadap MAB serta rahsia kejayaannya berdepan dengan pelbagai situasi membabitkan syarikat penerbangan
tersebut.

 

UTUSANBIZ: Setahun sebagai CEO di kerusi panas ini, adakah prestasi MAB setakat ini memuaskan?

BELLEW: Kebimbangan utama saya apabila mengambil alih jawatan ini adalah jualan tiket yang sangat perlahan. Tetapi ak­hirnya ia semakin meningkat ber­banding jangkaan dan setakat ini faktor muatan kita mencecah 81.1 peratus. Di pe­ringkat antarabangsa pula, saya melihat jenama Malaysia Airlines semakin kukuh dan terdapat beberapa syarikat yang mahu kembali menjalin perniagaan dengan MAB, pastinya kita amat gembira dengan perkara ini. Namun, pada suku pertama tahun ini berlaku sedikit penurunan dalam jumlah penumpang dan ini memberi satu cabaran kepada kami.

Setelah kira-kira dua tahun menetap di Malaysia (termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi MAB sebelum ini), bagaimana anda menyesuaikan diri dengan situasi di sini?

BELLEW: Satu pengalaman yang menarik apabila saya berpeluang menyambut semua jenis perayaan di negara ini. Tidak lupa juga, saya belajar berpuasa sejak tahun lalu... hampir dua minggu. Namun tahun ini, saya sempat berpuasa beberapa hari sahaja kerana perlu menghadiri IATA di Mexico. Bagi saya, tiada banyak perbezaan antara Malaysia dan Ireland, kerana kita juga mempunyai tradisi balik kampung apabila tiba hujung minggu. Oh ya, yang berbeza, orang Malaysia sukakan teh tarik tetapi kami di Ireland sukakan black coffee pada waktu pagi. Saya juga cukup bertuah kerana mempunyai rakan-rakan Muslim yang sentiasa menceritakan kepada saya tentang budaya dan kehidupan masyarakat Islam di sini. Malah, keluarga saya juga dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia.

Apabila anda mengambil alih tugas ini, MAB masih menjadi tumpuan dunia selepas dua tragedi melibatkan pesawatnya. Jadi bagaimana an­da mengendalikan situasi ini ter­utama apabila masih ada kakita­ngan yang belum melupakan tragedi sedih ini?

BELLEW: Tragedi ini tidak pernah kita lupakan walaupun sesaat. Apatah lagi rakan-rakan sekerja masih merasai kehilangan rakan-rakan mereka dan insan tersayang. Bagaimanapun, kita menghadapinya dengan tabah sepanjang tiga tahun ini supaya kita dapat membina semula perniagaan ini dengan lebih kukuh. Sama ada kita perlu akuinya atau tidak, kesedihan daripada tragedi itulah yang menjadikan kita lebih kuat dari sehari ke sehari. Dalam masa sama, ramai rakan-rakan industri berpendapat, kita perlu memperbaiki Malaysia Airlines supaya ia dapat melonjak semula dan menjadi kebanggaan negara.

Apakah harapan terhadap pesawat MH370?

BELLEW: Sesuatu yang sangat menarik jika kita dapat menemui kotak hitam pesawat ini supaya kita dapat mengetahui apa yang berlaku. Tetapi saya tahu, ia bukan satu perkara yang mudah dan boleh ditemui dalam tempoh yang singkat kerana banyak yang perlu dilakukan terutama pemprosesan data. Malah, ia juga memerlukan lebih banyak penyelidikan saintifik. Cuma saya berharap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, akan ada usaha-usaha daripada pihak universiti atau syarikat yang boleh membuat analisis data saintifik dari satelit untuk mencari pesawat ini. Jika ia ditemui, kami amat berbesar hati jika kami dimaklumkan tentang perkara ini.

Sejak akhir-akhir ini berlaku beberapa masalah teknikal melibatkan pesawat Malaysia Airlines, apa sebenarnya yang berlaku?

BELLEW: Setiap hari mana-mana syarikat penerbangan akan berdepan dengan masalah teknikal melibatkan pesawat mereka. Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Tetapi berdasarkan sejarah kami dengan dua tragedi sebelum ini, pastinya ia menjadi satu kebimbangan. Kami menetapkan penanda aras dengan syarikat penerbangan lain dalam diri kami dari segi keselamatan, keselesaan dan ini yang akan kami teruskan dari semasa ke semasa.

Selama 30 tahun dalam industri pe­ner­bangan, apakah rahsia kejayaan anda untuk bertahan selama ini?

BELLEW: Bekerja dengan rajin dan bangun seawal pagi supaya kita boleh berada di pejabat lebih awal dan pastikan semua kerja dapat dibereskan. Selain itu, kita juga perlu lebih fokus dan buat kerja dengan penuh minat. Be­kerja dalam industri ini adalah sesuatu yang amat saya sukai. Bagi saya, kita tidak terlepas me­lakukan kesilapan, begitu juga dengan saya. Kita juga sangat berhati-hati sejak 12 bulan lalu dan kita tidak menyembunyikan apa-apa kepada semua lapisan masyarakat tentang apa yang dilakukan untuk memulihkan Malaysia Airlines.