Projek seluas 1.6 hektar dikenali sebagai Pusat Bandar Kangar (KCC) itu merupakan hasil kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan pemaju hartanah terkemuka, Kumpulan Safuan Holdings Berhad.

Majlis pelancaran pecah tanah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Safuan, Datuk Seri Matshah Safuan.

Azlan memberitahu, projek komersial mega bernilai tinggi yang dijangka siap pada 2020 itu memenuhi janji kerajaan negeri untuk membawa pembangunan dan perubahan kepada rakyat.

“Ini akan melengkapi pelan induk untuk menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri bandar raya menjelang 2030 nanti. Projek ini sekali gus bakal mengubah landskap ekonomi dan gaya hidup rakyat negeri ini kepada sebuah masyarakat bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu Matshah berkata, pihaknya melihat Perlis mempunyai potensi untuk muncul sebagai hab perindustrian terkenal di rantau ini pada masa depan.

Katanya, dengan mengambil kira perkembangan pembinaan laluan kereta api yang sudah terhubung sehingga ke Indo-China, negeri itu sewajarnya merebut peluang perniagaan.

“Kita perlu mempergiatkan lagi pembangunan infrastruktur untuk merebut peluang perniagaan dan pelaburan. Ketika ini, pelancong dan pelabur dari selatan Thailand hanya melalui Perlis untuk ke Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah disebabkan kekurangan infrastruktur,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, sebuah projek mega bernilai RM311.4 juta, melibatkan pembinaan pangsapuri perkhidmatan, pusat beli-belah dan hotel di Kuala Perlis dekat sini, dilancarkan.

Ia merupakan satu usahasama antara PKENPs dan Tabung Haji Properties Sdn. Bhd. (THP).