Konsep perdagangan saham ialah menjana keuntungan dalam masa singkat. Tidak kira berapa pun keuntungan yang diperoleh dari aktiviti beli dan jual saham. Ini berbeza dengan konteks pelaburan saham iaitu beli dan simpan sesuatu saham syarikat tersenarai yang mana tempoh pegangan saham boleh mencapai sehingga beberapa tahun.

Di dalam perdagangan saham, seseorang pedagang mampu menjana pendapatan sepantas kurang dari sepuluh minit. Aktiviti beli dan jual ini boleh dilakukan berulang-ulang kali sama ada membeli kaunter yang sama atau kaun­ter yang berlainan. Keuntu­ngan yang diperoleh itu ialah daripada perbezaan harga beli dan jual. Untung dijana daripada perbezaan harga beli yang rendah dengan harga jual yang tinggi selepas ditolak dengan semua kos yang terlibat dalam transaksi tersebut.

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti beli dan jual saham pada bila-bila masa semasa pasaran saham sedang diurusniagakan. Tidak perlu menjadi pedagang saham sepenuh masa untuk menjana pendapatan di pasaran saham kerana kita tidak perlu melihat harga naik turun sepanjang masa. Juga, tidak perlu berhenti kerja untuk menjadi pedagang saham sepenuh masa jika mempunyai komitmen yang tinggi untuk sara diri dan keluarga.

Aktiviti perdagangan saham ini boleh dibuat secara sambilan atau santai memandangkan pasaran saham ada masa-masa yang sesuai untuk dimasuki.

Ramai orang membuat tanggapan bahawa alangkah baik­nya sekiranya menjadi pedagang saham sepenuh masa dengan berhenti kerja yang sedia ada kerana ingin menumpukan perhatian sepenuh masa membuat belian dan jualan saham setiap hari.

Ia boleh dilakukan dengan syarat jika kita tidak mempunyai apa-apa komitmen ataupun jika kita diberhentikan kerja tetapi mempunyai simpanan yang mencukupi dan lebihan untuk dijadikan modal pelaburan yang tidak akan mengganggu perbelanjaan atau kehidupan seharian. Maka, aktiviti perdagangan saham ini dilakukan untuk mengisi masa atau sebagai aktiviti semasa menunggu mendapat pekerjaan baharu.

Sekiranya seseorang itu merupakan suri rumah atau pesara, mereka juga harus bijak membuat jual beli saham. Ini ialah kerana ditakuti wang pencen habis begitu sahaja jika membuat pelaburan atau perda­gangan saham tanpa ilmu dan semberono.

Suri rumah juga perlu bijak membahagikan masa dengan urusan rumah tangga seiring dengan aktiviti perdagangan saham. Seperti mana yang Cikgu Saham katakan tadi, tidak perlu menghabiskan masa seharian mengadap skrin komputer atau telefon pintar melihat pergerakan turun naik harga saham.

Sebagai orang baharu yang melibatkan diri dalam saham, harus sentiasa mengambil tindakan untuk menjual saham jika harga saham naik sejurus membeli. Ini bertujuan untuk mengelakkan perasaan cemas atau panik jika harga saham yang naik tiba-tiba menyusut.

Ramai pedagang saham yang membuat kesilapan dengan tidak menjual saham yang harganya naik sejurus dibeli tetapi menjual saham (cut loss) tersebut apabila harga saham tiba-tiba menyusut. Mereka merasa panik dan cemas kerana takut harga akan jatuh berterusan jika tidak mengambil tindakan untuk cut loss.

Maka, pendekatan terbaik ialah mengambil untung seberapa yang boleh untuk mela­tih diri menanam rasa syukur dan melatih diri membuat tindakan yang pantas. Tindakan ini tertakluk hanya kepada pedagang yang cetek ilmu atau tidak mahir membaca pergerakan dan carta saham serta tidak mahir meramal sentimen pasaran.

Sebagai contoh, Ahmad membeli 20,000 unit saham pada harga RM0.20 dan harga naik menjadi RM0.22 sen. Dengan kenaikan sebanyak 2 sen bermakna Ahmad telah memperoleh untung sebanyak RM20 bagi setiap 1,000 unit saham. Ini bermakna, Ahmad telah menjana keuntungan kasar sebanyak RM400.00 bagi 20,000 unit saham.

Proses ini boleh diulang-u­lang beberapa kali untuk kaun­ter yang sama atau kaunter yang berlainan pada hari yang sama atau hari yang berlainan. Ia boleh dilakukan setiap hari ataupun setiap minggu.

Jika Ahmad mengekalkan purata keuntungan RM400 sehari dan mengulangi proses ini setiap hari, maka jika diambil purata keuntungan untuk 10 hari urus niaga, Ahmad memperoleh untung kasar sebanyak RM4,000.

Walaupun pada asalnya jumlah RM200 dalam sehari dilihat sedikit, tetapi jika dihitung untuk sepuluh hari urus niaga, ia merupakan satu jumlah yang besar.

#Seminar pendidikan saham akan diadakan di negeri Perak dan permohonan boleh diajukan ke [email protected] di talian 05-2495386