Oleh kerana kita tidak mempunyai banyak penulisan ilmiah tentang pasaran saham, seseorang pelabur sebaik-baik­nya memilih wakil peniaga berdaftar yang diiktiraf oleh Bursa Malaysia yang mempunyai pengalaman yang lama di dalam pasaran saham.

Kitaran sesuatu pasaran saham itu pada pendapat peri­badi saya ialah lima tahun. Ini bersamaan dengan tempoh atau jangka masa pilihan raya negara kita.

Dan untuk mendapatkan kefahaman dan rentak dalam urus niaga saham, seseorang pelabur dan pedagang saham perlu mengharungi masa sekurang-kurangnya minimum selama dua tahun dalam dunia saham.

Dua tahun ini merupakan tempuh percubaan untuk mengukur kefahaman, ketahanan dan ketabahan seseorang pelabur dan pedagang saham dalam membuat pelaburan saham.

Dalam jangka masa dua tahun ini, pelbagai peristiwa dan pergerakan turun naik pasaran saham yang dialami yang boleh membuatkan seseorang pelabur atau pedagang saham itu kecundang atau gagal dalam pelaburan yang dilakukan.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham dapat melepasi tempoh dua tahun ini, sete­rusnya pelabur dan pedagang saham perlu melalui tempuh lima tahun pula. Tempoh lima tahun ini sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu matang dan cemerlang dalam membuat pelaburan atau urus niaga saham.

Tempuh lima tahun ini juga sekiranya seseorang itu telah melakukan jual beli saham tanpa mendengar ‘cakap-cakap orang’ yang tidak diketahui sumber rujukan akan menjadikan seseorang itu boleh berdikari.

Berdikari dalam erti kata bijak membuat keputusan jual dan beli saham serta kemungkinan tidak lagi membuat kerugian yang banyak.

Dalam tempoh lima tahun ini sepatutnya seseorang pelabur itu juga dapat me­ngurangkan risiko kerugian, meningkatkan keuntungan, membaca sentimen pasaran, meramal pergerakan saham-saham mengikut tema sesuatu sektor serta meramal sama ada pasaran saham dalam keadaan cergas atau lemah.

Ilmu-ilmu yang dipelajari semasa pertama kali melibatkan diri dalam saham telah sebati dan diamalkan dengan penuh disiplin kerana pengalaman lalu mengajar untuk tidak melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali.

Pedagang dan pelabur saham mesti telah mempunyai teknik tersendiri dalam pe­nyaringan kaunter-kaunter berpotensi dan juga telah me­ngenal pasti kaunter-kaunter yang cepat bertindak balas sejajar dengan turun naik pasaran saham.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kaunter apabila indeks pasaran jatuh, kaunter ini juga turut jatuh dan kadang-kala kejatuhan tersebut agak banyak. Sebaliknya sekiranya sentimen pasaran positif, kaunter-kaunter tersebut juga didagangkan aktif dan membuat lonjakan harga yang cepat dan banyak.

Pelabur dan pedagang saham baharu perlu merujuk kepada maklumat yang ada di laman web Bursa Malaysia ke­rana banyak maklumat saham yang dicatatkan di situ.

Saya berpendapat bahawa keterangan dan maklumat yang disampaikan itu menya­mai maklumat dan pendidikan saham yang diajar di seminar-seminar berbayar.

Terdapat satu bahagian yang bertajuk terminologi (peristilahan) pasaran di dalam laman web Bursa Malaysia. Pelabur dan pedagang saham perlu tahu maksud terminologi tersebut kerana ia merupakan perkara yang kita lalui dalam pasaran saham.

Sebagai contohnya terdapat istilah ‘buy-in’ atau belian paksa. Ia bermaksud seseorang yang menjual saham yang tiada dalam akaun CDS. Kesilapan ini biasanya terjadi sewaktu terdapat saham yang mengalami penyusutan modal atau capital reduction.

Pemegang saham tersebut tidak menyemak baki unit saham yang telah melalui proses ini dan menjual saham tersebut kerana pada hari penyenarai­an, harga dan unit saham akan berubah.

Juga, akaun CDS kemungkinan masih belum lagi dikemas kini yang mana baki menunjukkan jumlah yang sama walaupun saham syarikat tersenarai telah mengecil dari segi unit sesaham.

Untuk memberikan lebih keterangan tentang penyusutan modal ini, anda digalakkan untuk berhubung dengan wakil peniaga berdaftar atau memin­ta wakil peniaga anda untuk memaklumkan jika saham yang berada di dalam portfolio anda melalui proses ini.

Untuk permohonan dan saham tawaran awam permulaan (IPO) pula, laman web Bursa Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) menyediakan maklumat tersebut.

Ini dapat menjimatkan wang anda kerana ada banyak seminar berbayar yang juga mengajar cara-cara memohon saham IPO ini walaupun ia telah di­nyatakan dalam dua laman web tersebut.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh menghubungi Zuraida Mohd. Zakaria melalui e-mel: [email protected]