Walau bagaimana, kita tidak tahu sekiranya ada apa-apa peristiwa besar yang boleh mempengaruhi pasaran saham dalam masa dua bulan ini.

Bulan Disember nanti warga saham akan menantikan kedatangan window dressing akhir tahun. Topik tentang window dressing ini telah disentuh di kolum ini pada tahun lepas. Seperti yang umum ketahui, negara kita bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi. Lazimnya, warga saham akan menanti saat kedatangan rally pilihan raya sebelum tarikh pilihan raya diumumkan.

Perkataan rally itu sendiri memberikan gambaran kenaikan pasaran saham yang akan memberikan durian runtuh kepada pelabur dan pedagang saham.

Mengimbas kembali senario pilihan raya 2013, ia diadakan pada bulan Mac sempena cuti persekolahan. Sebelum dan selepas terjadinya pilihan raya merupakan satu keadaan yang boleh dikatakan agak rancak.

Oleh kerana PRU-14 bakal diadakan pada suku tahun pertama, sentimen pasaran biasanya agak rancak seiring dengan kedatangan tahun baharu 2018 dan Tahun Baharu Cina. Ini bermakna ada tiga peristiwa yang memberi impak positif kepada sentimen pasaran menjelang pilihan raya iaitu kesan bulan Januari, rally Tahun Baharu Cina serta rally PRU-14.

Untuk kefahaman pembaca mengenai pergerakan pasaran, pergerakan pasaran saham merupakan satu pergerakan turun dan naik yang berselang-seli. Sesuatu kenaikan bakal terjadi selepas berlakunya penurunan atau kejatuhan.

Begitu juga sebaliknya, suatu kenaikan akan disusuli dengan kejatuhan. Ini merupakan putaran dalam pasaran saham. Kenaikan dan penurunan ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan dan penurunan harga saham telah dikupas di beberapa siri di ruangan ini.

Maka sekiranya pasaran saham mengalami aliran menurun yang disebabkan oleh aktiviti jual beli saham, pelabur dan pedagang saham tidak perlu risau kerana ia merupakan aktiviti pasaran yang normal.

Oleh sebab terjadinya peristiwa yang hampir sama, maka lahirlah ungkapan atau kepercayaan yang mengatakan bahawa sejarah akan berulang. Ini bermakna, setiap kali pilihan raya umum akan diadakan, corak dan trend yang bakal terjadi di dalam pasaran saham lebih kurang sama keadaannya melainkan jika ada apa-apa peristiwa baharu yang terjadi di antara tempoh masa tersebut.

Dan sekiranya terjadi apa-apa peristiwa baharu yang terjadi buat pertama kali, maka sentimen pasaran akan berubah kesan daripada tindak balas peristiwa tersebut.

Satu daripada kesan yang terjadi pada tahun 2012 iaitu sebelum tahun pilihan raya pada Mac 2013, ialah terdapatnya beberapa saham syarikat tersenarai yang di dalam ka­tegori penny stock telah mengalami peningkatan harga yang drastik dan luar biasa pada tahun 2012 sehingga 2013.

Kenaikan harga saham-saham ini ada yang mengalami tiga kali kenaikan secara limit up. Limit up bererti kenaikan harga saham sebanyak 30 peratus pada satu sesi. Ini bermakna, tiga kali kenaikan limit up ialah kenaikan 90 peratus dalam masa satu setengah hari waktu dagangan Bursa Malaysia.

Maka, tidak boleh disangkal lagi bahawa pelaburan saham ini merupakan satu pelaburan yang lumayan dan selamat jika dibandingkan dengan skim cepat kaya. Jika difikirkan secara logik, di manakah lagi tempat yang kita boleh memperoleh keuntungan 30 hingga 90 peratus jika bukan di Bursa Malaysia?.

Pelabur dan pedagang saham juga boleh melihat atau memantau portfolio pelaburan dan transaksi jual beli menggunakan urus niaga dalam talian.

Berbalik kepada saham-saham syarikat tersenarai yang di dalam kumpulan penny stock yang mengalami kenaikan drastik dan banyak, keadaan sama telah berlaku ke atas saham-saham penny baru-baru ini. Cuma, kenaikannya tidaklah mencapai limit up tetapi ianya sudah cukup memberikan hasil yang lumayan untuk tempoh masa dua minggu.

Maka, masyarakat perlu membuka mata dan minda untuk melabur di pasaran Bursa Malaysia. Bukan sahaja lumayan dan selamat tetapi anda boleh menjual saham pada bila-bila masa dan semua surat-menyurat akan dihantar oleh syarikat broker saham ke alamat pelabur.