Ini bagi memastikan jenama produk atau perkhidmatan yang bakal dikeluarkan itu menepati semua kriteria yang membuatkan orang datang membeli. Satu daripada kriteria yang perlu ada pada setiap jenama ialah tawaran nilai.

Tawaran nilai atau value proposition ialah satu pengurusan persepsi yang mana produk atau perkhidmatan itu dilihat bernilai oleh para pengguna. Bernilai di sini bermaksud mampu memberi manfaat kepada mereka, yang mampu memudahkan kehidupan mereka tidak kira sama ada daripada aspek peribadi mahupun secara profesional.

Kita mempunyai lambakan pilihan yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Terdapat pelbagai jenama di luar sana yang bersaing rapat di antara satu sama lain untuk mendapatkan pelanggan berbayar.

Lihat sahaja industri membeli-belah secara e-dagang di Malaysia sebagai contoh. Daripada Zalora, Lazada, Lelong, 11th Street sehinggalah kepada Carousell, Amazon, Mudah, Fashion Valet dan pelbagai lagi yang kesemua mereka hanya fokus kepada golongan gemar membeli-belah secara dalam talian.

Ini baru satu subindustri e-dagang. Itu belum lagi subin­dustri e-dagang yang lain seperti portal membeli kereta. Kita ada Motortrader, Carlist, Oto, Carsome, Autoworld, Carbay, Mymotor dan sebagainya.

Malah, Mudah dan Lelong juga mempunyai seksyen untuk membeli dan menjual kereta di laman portal mereka. Kita belum lagi melihat industri-industri lain yang mempunyai jumlah pilihan jenama yang menggila banyaknya.

Kesemua jenama ini yang bersaing rapat antara satu sama lain setiap masa cuba untuk mencari sebab mengapa para pengguna perlu memilih jenama mereka dan bukannya pesaing mereka untuk membeli sesuatu yang ditawarkan.

Secara peribadi saya berpendapat, memandangkan apa yang dijual oleh setiap jenama yang disebutkan di atas hampir sama, cubaan mereka untuk mencari tawaran nilai yang benar-benar terserlah dan kuat amatlah sukar.

Secara keseluruhannya, da­ripada mata pengguna mereka ini sama sahaja. Cuma beza­nya ialah fungsi portal mereka, sama ada mesra pengguna ataupun tidak.

Jadi, sekiranya anda ingin bersaing dengan jenama-jenama sebegini hebat yang mempunyai para pelabur yang berpoket lebat, saya nasihatkan sama ada anda lupakan sahaja niat itu atau ubah sedikit tawaran nilai yang hampir sama tadi kepada sesuatu yang unik.

Beberapa hari lepas saya secara tidak sengaja terjumpa satu portal yang dikenali sebagai Sewa. Saya melihat beberapa buah kereta yang mempunyai pelekat jenama ini tertampal di bahagian belakang kereta masing-masing. Itu di Shah Alam.

Kemudian saya sekali lagi terserempak dengan beberapa individu yang memakai kemeja-T juga berjenama Sewa di sebuah masjid di Petaling Jaya. Lantas saya terus mencapai telefon saya dan terus mencari jenama ini di Google.

Moral daripada tawaran nilai yang disediakan oleh portal Sewa ini amat menarik sekali. Mungkin terlalu banyak portal yang menjual produk, tetapi mereka menawarkan khidmat menyewa produk.

Dengan sedikit perubahan yang dibuat pada model perniagaan yang ada, mereka menawarkan khidmat yang sedikit berlainan daripada apa yang ada di pasaran dan ini bijak. Pada saya, pemikiran secara kreatif amat penting untuk berjaya.

Tanpa kreativiti, kita pasti akan terjerumus dalam persaingan yang sengit. Para pengguna tidak akan dapat melihat kelebihan jenama kita apabila persaingan dalam sesuatu industri itu terlalu sengit.

Portal sewa.com.my ini nam­pak seperti baharu sahaja dimuat naik, tetapi ia begitu unik sekali. Saya tidak begitu kenal dari dekat tentang jenama ini namun dari jauh manfaatnya amat terserlah.

Saya sebagai pengguna me­rasakan portal ini amat berpotensi tinggi untuk pergi lebih jauh. Saya mempunyai beberapa benda di rumah yang telah lama dibeli tetapi jarang digunakan.

Daripada terperuk di dalam bilik stor, lebih baik saya sewakan semuanya di portal itu dan boleh digunakan oleh orang lain. Dan yang penting setiap produk yang disewa semuanya diinsuranskan.

Sekiranya para pengguna boleh menjawab dengan baik mengapa mereka perlu membeli daripada anda dan bukannya daripada orang lain yang menjual produk yang sama, maka dengan sendirinya perniagaan anda pasti akan mampu bertahan lama dan kekal re­levan pada masa akan datang.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di www.azleen.com