Kejayaan YTL Group kini mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$2.1 bilion (RM8.8 bilion) dan merupakan orang ketujuh terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes terbaharu 50 individu terkaya di Malaysia.

Pengarah Urusan YTL Corp., Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping yang juga anak sulungnya berkata, di bawah kepimpinan mendiang bapanya, YTL Group berkembang pesat di Malaysia sehingga merangkumi operasi dan projek di seluruh dunia.

“Perkembangan YTL Group sejajar dengan kehendak pengerusi ka­mi untuk membina sebuah syarikat yang besar dan bertanggungjawab bagi manfaat keluarga, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan komuniti yang lebih luas dan ini adalah wa­risannya.

“Sifat merendah diri dan juga caranya bekerja dengan cekap menjadikan mendiang seorang yang sangat dikagumi semua. Kami pasti akan merinduinya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tiong Lay yang merupakan Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Berhad dan YTL Power International Berhad menghembuskan nafas terakhir semalam, ketika berusia 88 tahun.

Mendiang me­ninggalkan balu, Puan Sri Tan Kai Yong berserta tujuh anak, Sock Ping, Datuk Yeoh Soo Min, Datuk Dr. Yeoh Seok Kian, Datuk Yeoh Seok Hong, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong, Datuk Yeoh Soo Keng, Datuk Mark Yeoh Seok Kah dan 27 cucu serta lima cicit.

Di bawah kepimpinannya, YTL Group berkembang daripada ha­nya sekadar syarikat pembinaan di Kuala Selangor pada 1955 sehingga menjadi pemaju infrastruktur bersepadu.

Antara operasi yang terlibat termasuklah penjanaan kuasa (dalam bentuk kontrak dan pasaran pedagang), perkhidmatan air, pembetungan, pelbagai kemudahan utiliti, komunikasi, kontrak pembinaan, pembangunan dan pelaburan hartanah.

Selain itu, operasi YTL Group juga merangkumi pembuatan simen dan produk bekalan perindustrian, pembangunan dan pengurusan hotel (termasuk operasi restoran), penyediaan perunding­an, perkhidmatan inkubasi dan khidmat nasihat untuk perniagaan internet dan penyelesaian pendidikan dan perkhidmatan berasaskan internet.

Sebagai antara syarikat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia, YTL Corp. membentuk satu daripada syarikat komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI di FTSE Bursa Malaysia KLCI iaitu indeks penanda aras utama bursa saham.

Malah, YTL Corp. adalah syarikat induk kepada tiga syarikat lain seperti, YTL Power International Berhad, YTL Land & Deve­lopment Berhad dan YTL Hospitality REIT.

Di samping itu, YTL Group mempunyai kepentingan dalam Amanah Pelaburan Hartanah Starhill Global yang disenaraikan di Papan Utama SGX-ST, bursa saham Singapura. YTL Corp. ju­ga mempunyai penyenaraian se­kunder di Bursa Saham Tokyo sejak 1996 dan muncul syarikat Asia pertama disenaraikan di bursa Tokyo.

Berdasarkan pencapaiannya membawa YTL ke persada dunia, mendiang semasa hayat dianugerahkan gelaran Order of the Rising Sun oleh Maharaja Jepun sebagai pengiktirafan sumbangan terhadap kerjasama ekonomi dan persahabatan antara Jepun dan Malaysia, termasuk usahanya sebagai ahli eksekutif dan Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun.

Pada 20 Ogos 2009 pula, mendiang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sempena Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2009 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan keusahawanannya yang cemerlang terhadap pembangunan negara.

Tiong Lay juga merupakan ahli lembaga syarikat awam lain se­perti YTL Cement Berhad, YTL Industries Berhad, dan Wessex Water Limited, sebuah syarikat utiliti dan kumbahan air di England dan Wales.

Dari segi sumbangan kepada masyarakat, mendiang yang ju­ga memegang jawatan sebagai Pengerusi YTL Foundation ba­nyak meluangkan masa dengan membantu orang lain, terutama berkaitan pendidikan kerana isterinya merupakan seorang gu­ru.

Sebagai pemimpin terkenal dan dihormati dalam kalangan masyarakat Cina, mendiang memegang jawatan Presiden Kehormat Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia Bersekutu Malaysia, Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Malaysia-China; Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Presiden Kehormat Persatuan Kim Mooi Se­langor dan Penasihat Dewan Perniagaan China Kuala Selangor.