Justeru, lahirlah pelbagai kaedah kajian dan analisis saham. Terdapat beberapa panduan untuk membeli dan menjual saham seperti kajian analisis fundamental dan teknikal, kajian tentang analisis sentimen, analisis trend dan momentum, analisis jumlah dagangan dan sebagainya.

Oleh sebab terdapatnya pelbagai kaedah untuk membuat kajian, maka terdapat ramai juga pelabur veteran yang tidak mengetahui analisis teknikal mahupun fundamental secara terperinci tetapi masih boleh meraih keuntu­ngan yang lumayan di pasaran saham.

Ini disebabkan mereka telah menghafal rentak dan trend pergerakan turun naik pasaran sekian lama. Penerangan tentang corak atau trend pergerakan pasaran telah dikupas di ruangan yang lepas di kolum ini.

Seperti yang pernah Cikgu Saham nyatakan terdahulu, pasaran saham di Malaysia ini agak unik. Unik dari segi yang mana seseorang itu tidak perlu menjadi pakar atau penganalisis pasaran yang bertauliah atau mempunyai kelulusan akademik untuk menceburkan diri dalam bidang saham.

Dan sekiranya seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu analisis teknikal dan fundamental dengan baik, masih terdapat kaedah atau cara lain yang mudah untuk meraih keuntungan di pasaran saham.

Oleh kerana itu, kita dapati ramai pelabur dan pedagang saham veteran yang masih aktif membuat jual beli saham dari dahulu hingga sekarang. Ada yang telah mencecah lebih dari 30 tahun dan masih meneruskan aktiviti pelaburan saham sehingga kini.

Pada penghujung Di­sember 2017, Cikgu Saham telah bertemu seorang pelabur veteran wanita melalui seorang kenalan. Sudah tentu peluang bertemu dengan pelabur ve­teran tidak akan dilepaskan dan Cikgu Saham telah berta­nya beberapa soalan atau petua kepada beliau.

Biasanya seseorang pelabur atau pedagang veteran yang masih survive dalam pasaran saham untuk sekian lama sudah tentu mempunyai rahsia mereka tersendiri. Dan juga biasanya pelabur veteran ini tidak mempunyai ilmu analisis teknikal dan fundamental yang baik memandangkan faktor umur dan juga alasan lain yang tidak membolehkan mereka belajar ilmu-ilmu pelaburan yang ada.

Juga, faktor pekerjaan dan kesibukan seseorang itu yang membataskan mereka daripada belajar atau mendalami ilmu analisis teknikal dan fundamental.

Dalam persoalan yang diajukan itu, beliau memberikan beberapa petua seperti berikut:

* Membeli saham syarikat yang bagus dari segi fundamental yang memberikan dividen.

* Memberi fokus kepada saham-saham berkaitan indeks.

* Menjual saham yang dibeli sekiranya telah untung. Atau dalam erti kata lain mengambil untung sekiranya harga saham yang dibeli telah naik.

* Memberi tumpuan saham syarikat berkaitan pilihan raya sebagai sentimen pasaran tahun ini.

Panduan di atas merupakan satu prinsip atau pendekatan yang diambil oleh individu yang menjadi pegangannya. Sesiapapun mempunyai ideo­logi, kepercayaan dan prinsip dalam pasaran saham yang te­lah membuktikan pencapaian mereka dalam pelaburan yang dibuat.

Pokoknya di sini, setiap pelabur dan pedagang saham yang berjaya mempunyai matlamat atau prinsip yang dia percaya dan patuhi.

Sekiranya seseorang itu tiada apa-apa pegangan atau prinsip dalam membuat pelaburan atau perdagangan saham, samalah ia seperti menaruh harapan. Menaruh harapan jika untung sabut timbul, untung batu tenggelam iaitu jika bernasib baik maka dia akan untung. Tetapi jika tidak bernasib baik, dia berpotensi mengalami kerugian.

Orang yang berharap pada nasib semata-mata atau menaruh harapan semasa membeli saham biasanya tidak mempunyai ilmu pelaburan serta tidak membuat kajian dan pemerhatian dalam saham.

Mereka tidak mengamati rentak turun naik pasaran atau tidak menghafal corak atau trend pasaran. Mereka seakan memperjudikan nasib semasa membeli saham. Mereka gemar bersandarkan kepada analisis harapan (hope analysis) kerana tidak mahu bersusah payah belajar dan membuat kajian saham.

Ada juga yang membeli dan menjual saham setelah menghadiri seminar pengenalan dan tidak mendapatkan pembelajaran lebih lanjut padahal seminar pengenalan itu tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu mahir membeli dan menjual saham.

Seorang pedagang dan pelabur baharu perlu diberi tunjuk ajar dan bimbingan untuk satu tempoh masa tertentu bagi melahirkan satu generasi celik dan bijak saham.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018