ETF adalah sekuriti yang di­reka untuk menjejaki pres­tasi indeks, komoditi atau se­­kum­pulan aset seperti dana pe­laburan terbuka, dan ia didagangkan di bursa saham seperti mana perdagangan saham yang lain.

Memandangkan ETF didagangkan sama seperti saham di Bursa Malaysia, pelabur boleh membeli dan menjual ETF melalui broker saham berlesen mereka pada bila-bila masa sahaja dalam waktu dagangan. Ia turut melibatkan kos transaksi seperti bayaran pembrokeran, duti setem dan lain-lain.

Rumusannya, ETF merupakan kombinasi ciri-ciri dana terbuka serta saham. Oleh ke­rana ETF menggabungkan ci­ri-ciri dana terbuka, saham ser­ta dana indeks, maka ia mem­punyai kelebihan seperti berikut:-

  • Mudah dipelbagaikan ke­rana ia memiliki sekumpulan sekuriti. Contohnya satu pasaran, negara atau wilayah dengan satu dagangan.
  • Ketelusan yang mana pe­la­bur tahu apa yang dibeli ke­rana sekuriti pendasar didedahkan berikutan harga bo­­leh didapati pada waktu sebenar sepanjang hari dagangan.
  • Fleksibiliti dalam membeli dan menjual pada waktu dagangan sama seperti pem­belian dan penjualan saham.
  • Kos pelaburan yang rendah yang mana yuran pengurusan yang rendah dan tiada yuran awal.
  • Dengan modal pelaburan yang rendah, anda boleh melabur dalam sekuriti yang anda inginkan.
  • Ia memberikan kecairan. Sebagai contoh, pelabur boleh menebus unit dengan mudah dan mendapatkan tunai menjelang hari ketiga pasaran selepas tarikh dagangan (T+3).
  • Memberikan pendedahan yang meluas kepada pasaran saham. Misalnya, dengan pembelian ETF FBMKLCI, ia memberikan pelabur pendedahan pasaran yang luas dari 30 syarikat terbesar.

Bagi mereka yang masih baharu dalam ETF, berikut ialah beberapa soalan yang sering ditanya dan saya sertakan jawapan kepada soal­an-soalan tersebut.

Persiapan sebelum melabur dalam ETF.

i) Memahami objektif dan strategi pelaburan ETF

ii) Mendapatkan maklumat terperinci tentang indeks yang dijejak oleh ETF

iii) Mengetahui tentang polisi dividen

iv) Mengetahui tentang kos-kos yang terlibat di dalam pelaburan ETF

v) Mendapatkan sumber maklumat dagangan ETF terlebih dahulu

vi) Mengetahui maklumat tentang syarikat pengurusannya

Bagaimana melabur dalam ETF?

i) Sebelum memulakan pela­buran dalam ETF, anda perlu mendapatkan maklumat lanjut tentang ETF.

ii) Sama seperti dagangan saham, anda perlu mempunyai akaun CDS serta akaun daga­ngan.

iii) Anda boleh membeli dan menjual ETF melalui broker, remisier atau dagangan dalam talian.

iv) Maklumat mengenai dana-dana ini mudah diperoleh di laman-laman web dan prospektus ETF. Prospektus perlu dibaca oleh bakal pelabur sebelum melabur. Ia menerangkan maklumat penting seperti objektif dana, latar belakang pe­ngurus dana, yuran pengurusan serta risiko pelaburan.

v) Biasakan diri dengan manfaat, had serta risiko dana-dana ini. Pastikan anda tidak mempunyai apa-apa salah faham atau kekeliruan mengenainya.

vi) Sebelum melabur, anda perlu menetapkan maklumat dan tujuan pelaburan ETF yang ingin dilakukan.

Bagaimanakah cara untuk membuat keputusan melabur dalam sesuatu ETF?

Anda perlu mengenal pasti apakah yang terdapat di pasar­an. Kemudian buat penyelidikan tentang ETF pilihan anda seperti mana anda membuat kajian saham-saham berpotensi sebelum membuat keputusan membeli.

Dengan ketelusan yang ditawarkan oleh ETF, anda boleh mengakses maklumat masa sebenar.

Apakah kos yang terlibat di dalam dagangan ETF ini?

Secara umumnya, ETF adalah lebih kos efektif berban­ding instrumen ekuiti yang lain. Ianya sama seperti membeli dan menjual saham iaitu pelabur perlu membayar caj pembrokeran, duti setem, yuran pelunasan serta cukai barang dan perkhidmatan (GST), di mana perlu.

Bagaimana cara meng­gu­na­kan ETF ini sebagai alat untuk pengurusan kekayaan?

Anda boleh menggunakan ETF ini sebagai alat untuk pengu­rusan kekayaan dengan menggunakan strategi pelaburan yang berbeza.

Sebaik sahaja anda jelas me­ngenai tujuan pelaburan anda, pilihlah strategi pela­buran yang terbaik dan sesuai dengan matlamat dan objektif pelaburan anda. Sebagai contoh, strategi pengurusan tunai. Kita sambung topik ETF ini di minggu hadapan.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila layari www.bursamarketplace.com. Pembaca yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Cikgu Saham Zuraida melalui emel [email protected]