Justeru, bagaimana untuk mengembalikan semangat yang hilang atau membangkitkan semula minat pelabur dan pe­dagang bumiputera terutama yang telah menyepi sekian lama untuk kembali aktif di pasaran saham?

Semasa saya dijemput untuk memberi ceramah di Simposium Saham anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada awal September lalu, terdapat segelintir peserta yang hadir terdiri daripada kelompok pelabur dan pedagang veteran ini.

Daripada perbualan saya bersama mereka, ternyata mereka telah berhenti berurus niaga saham. Walau bagaimana pun, tidak dinafikan mereka merupakan pembaca setia ruangan kolum mingguan ini.

Minat terhadap pasaran sa­ham masih tidak luput walaupun mereka telah berhenti daripada melakukan jual beli saham. Ada antaranya yang menggalakkan anak-anak me­reka untuk mengambil tahu tentang pelaburan saham Bursa Malaysia.

Keadaan ini terbukti dengan kehadiran warga emas yang membawa bersama keluarga ha­dir ke Simposium Saham Utusan. Tujuannya ialah untuk menyemai minat generasi muda mengambil tahu dan memanfaatkan peluang yang tersedia di pasaran saham Bursa Malaysia.

Ada juga yang telah mengga­lakkan anak mereka untuk mendapatkan ilmu pelaburan terlebih dahulu dengan menghadiri seminar pelaburan saham. Di samping itu, golongan veteran ini tidak ketinggalan memberi sedikit tunjuk ajar kepada anak-anak mereka.

Pelabur veteran ini walaupun telah berhenti daripada me­labur di pasaran saham disebabkan faktor umur, mereka masih menyedari bahawa untuk berjaya dalam pelaburan dan urus niaga saham perlu mendapatkan ilmu yang betul.

Juga perlu mereka ini mendapatkan khidmat nasihat daripada profesional dan individu yang diiktiraf.

Laporan dan berita tentang pasaran pada hari ini sangat mudah diperoleh berbanding tahun 90-an dahulu. Maka, pelabur dan pedagang veteran ini dapat membimbing keluarga di peringkat awal kerana ia le­bih mudah disebabkan mereka mempunyai pengalaman terdahulu dalam melakukan urus niaga saham.

Pengalaman tersebut juga sangat bernilai dan menjimatkan kerana anak-anak mereka telah mendapat ilmu pengenalan asas pasaran. Jimat yang dimaksudkan ini ialah mereka tidak perlu membayar yuran untuk menyertai seminar berbayar yang mengajar asas pe­ngenalan saham.

Banyak syarikat broker saham yang menghantar rencana atau laporan pasaran saham kepada pelanggan setiap hari. Dengan adanya rencana tentang pasaran saham dan analisis saham yang boleh didapati secara meluas, mempelajari saham dan melakukan beli dan jual saham menjadi semakin mudah.

Pelabur dan pedagang saham kini boleh mendapat banyak maklumat pasaran melalui internet hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

Dengan cara membimbing generasi baharu melabur dan berdagang saham secara bijak, sudah tentu kesalahan dapat dikurangkan bagi memajukan pelaburan mereka.

Saya sendiri menyedari bahawa ilmu analisis teknikal dan fundamental amat berkesan dalam membuat keputusan beli dan jual saham dan sedikit adunan daripada ilmu old school yang diperoleh pada zaman-zaman 90-an dahulu.

Satu daripada ilmu old school yang masih boleh diamalkan ialah kaedah untuk mengukur atau mengira paras kejatuhan dan kenaikan sesuatu saham. Paras kejatuhan atau kenaikan harga saham dipanggil paras halangan dan sokongan.

Kejatuhan harga saham ini atau penentuan Fibonacci Retracement boleh dikira secara manual. Pelabur dan pedagang veteran ini membuat perkiraan secara manual dengan menggunakan satu formula untuk menentukan paras kejatuhan sesuatu saham.

Dengan mengira paras kejatuhan tersebut, mereka dapat membuat keputusan membeli kerana kejatuhan tersebut memberi petunjuk harga yang sesuai untuk membeli saham.

Dalam zaman teknologi se­makin canggih, pelabur dan pedagang saham kini boleh melihat paras halangan dan sokongan tersebut pada carta saham berkomputer yang dibuat lebih canggih. Ini bermakna para pelabur dan pedagang saham era masa kini lebih mudah menjadi mahir membuat urus niaga saham.

Dengan bantuan, galakkan dan bimbingan pelabur dan pedagang veteran ini, tidak dinafikan ia merupakan satu jasa dan sumbangan untuk meneruskan warisan pelabur dan pedagang saham generasi baru yang lebih bijak dan berwawasan.

Kepada yang ingin temui Cikgu Saham dan bertanya soalan tentang pasaran boleh mendaftar di http://tinyurl.com/sembangsaham2017