Jika kita layari internet, bidang dagangan forex sangat banyak ditulis dan disebarkan berbanding dengan pasaran saham Bursa Malaysia sama ada melalui buku atau seminar.

Juga terdapat banyak ilmu analisis teknikal yang merujuk kepada perdagangan forex. Ini termasuk juga pasaran saham luar negara yang mana pe­nerangan disampaikan melalui video animasi serta youtube.

Berbeza dengan pelaburan saham di negara kita yang sa­ngat terhad dalam pendekatan penyampaian ilmu saham sama ada dalam bentuk tulisan di internet, media cetak dan elektronik, youtube serta buku.

Industri pasaran saham agak kurang dipromosi sebagai satu cabang pelaburan yang sah di sisi undang-undang dan selamat. Oleh kerana kurang­nya penulisan dan penyebaran ilmu pelaburan yang sah ini, maka ramai orang telah terjebak dengan berbagai skim ponzi, skim cepat kaya serta pelaburan yang tidak sah.

Maka, bagaimana mahu mendapatkan ilmu pelaburan saham ini agar pedagang dan pelabur dapat melabur dengan bijak dan selamat?

Sebagai permulaan untuk melibatkan diri dalam pasar­an saham, setiap orang harus bermula dengan membuka akaun CDS (Central Depository System) sama ada di bank pelaburan atau broker saham yang terdekat.

Ini memudahkan urusan yang mengkehendaki seseorang itu menghadirkan diri pada masa-masa akan datang.

Oleh kerana seseorang itu tiada pengetahuan tentang pasaran saham, anda boleh melantik wakil peniaga yang diiktiraf sama ada remiser ataupun dealer sebagai ejen. Tugas-tugas wakil peniaga ini telah saya terangkan pada artikel yang lepas.

Kenapa orang baharu dalam pasaran saham perlu melantik wakil peniaga ini? Wakil peniaga ini merupakan orang yang terlibat dalam pasaran saham secara langsung dan tertakluk kepada undang-undang Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Bursa Malaysia.

Pada setiap tahun wakil peniaga ini diwajibkan menghadiri kursus-kursus profesional sebagai kesinambungan dalam memperlengkapkan diri dengan maklumat semasa industri pasaran saham.

Walaupun ada kalanya terdapat hal-hal yang tidak dapat dijelaskan kepada para pelanggan mereka, anda tidak perlu risau kerana boleh mendapatkan keterangan tentang pasaran saham daripada pegawai yang bertugas di bahagian khidmat pelanggan di syarikat broker saham.

Tempat-tempat rujukan yang anda perlu tahu atau badan-badan yang merupakan asas dalam pasaran saham di negara kita ialah Bursa Malaysia, SC dan BursaMKTPLC yang juga merupakan sebahagian daripada Bursa Malaysia.

Pelabur dan pedagang saham juga boleh menghubungi pegawai di Bursa Malaysia sekiranya ada kemusykilan atau pertanyaan yang tidak diperoleh daripada wakil peniaga atau syarikat broker saham.

Dan untuk mengetahui atau mendapatkan pendidikan tentang pasaran saham secara percuma, selain daripada belajar melalui wakil peniaga ini, anda juga boleh menyemak laman web InvestSmartSC serta BursaMKTPLC kerana melalui saluran ini, anda memperoleh pembelajaran dan ilmu yang betul.

Maklumat berkaitan saham juga boleh diperoleh daripada platform urus niaga itu sendiri. Jika anda masih tidak mendapat apa yang anda cari atau inginkan, anda boleh memuat turun beberapa aplikasi perisian carta.

Banyak perisian carta tentang pasaran saham yang menyediakan berbagai maklumat selain daripada berita-berita saham sama ada berita pasar­an saham tempatan mahupun global.

Bolehkah anda mendapatkan ilmu pelaburan saham ini daripada mereka yang lain seperti yang dinyatakan di atas?

Secara amnya, orang mempelajari tentang pelaburan saham ini daripada orang yang selain disebutkan tadi. Contohnya, mempelajari daripada mereka yang berpengalaman yang telah melakukan urus niaga saham, tetapi tiada lesen pasaran modal atau pengiktirafan daripada Bursa Malaysia.

Sekiranya kita ada pilihan untuk memilih, pilihan pertama yang perlu dibuat ialah mendapatkan ilmu daripada saluran-saluran yang disebutkan tadi kerana ia lebih selamat.

Dan sekiranya ada saranan-saranan membeli yang diberikan oleh wakil peniaga tersebut yang telah menyebabkan pelanggan mengalami kerugian, kita boleh merujuk kepada syarikat broker saham ataupun mengajukan aduan kepada Bursa Malaysia.

Terdapat satu badan iaitu SIDREC yang mengendalikan permasalahan atau pertikaian berkaitan urus niaga saham yang anda boleh rujuk.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Zuraida Mohd Zakaria melalui emel [email protected]