Berkat doa keluarga dan rakan-rakan seperjuangan, kini saya mengeluarkan produk terbaharu iaitu Coklat Bar Delish pada 20 Mac lalu. Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan ini mahu saya kongsi kepada mereka yang mempunyai impian seperti saya.

Perancangan yang rapi perlu dilaksanakan untuk merealisasi impian saya ini. Banyak tentangan dan pendapat yang saya terima semasa mula-mula ingin membina jenama sendiri. Namun saya yakin dengan pendirian ingin keluar daripada zon selesa, saya nekad membuat produk coklat dengan resipi yang saya cipta sendiri.

Antara petua yang boleh saya kongsi untuk membina jenama sendiri adalah:

1) Bermula dengan minat

Setiap orang pasti mempunyai minat tersendiri untuk membuat bisnes yang berjaya. Daripada minat, kita usahakan dengan perancangan dan ikhtiar. Tanpa minat ibarat membuat kerja yang sia-sia.

Siapa yang tidak suka dengan coklat? Saya merupakan penggemar coklat yang tegar. Inspirasi ini bermula apabila saya terfikir mengapa tiada coklat yang betul-betul kena dengan cita rasa saya?

Ada sesetengah coklat itu terlalu manis, ada yang terlebih susu dan sebagainya. Saya sukakan coklat yang kurang manis tapi sedap pada suapan pertama. Jadi terhasil coklat Delish ini.

2) Mula merancang

Pertama sekali, setelah memilih produk yang ingin dikeluarkan, haruslah diuruskan sendiri supaya kita tahu apa produk yang ingin kita pasarkan. Orang kata bila sudah jatuh cinta barulah kita tahu baik buruk perkara yang kita suka itu.

Perlu memulakan perancangan dan mencari kelemahan serta kelebihan produk kita dengan produk yang sedia ada jika ingin membuat produk yang lebih kurang sama. Memasarkan produk sendiri pada awalnya bukan sesuatu yang mudah tetapi ia juga bukan mustahil untuk dilakukan.

Apa yang penting elakkan membuat produk yang syok sendiri. Belum tentu produk itu laku, tetapi sudah bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya dan akhirnya tidak terjual hingga merugikan modal sendiri.

Cara terbaik adalah dengan membuat kajian dalam pasaran untuk mengetahui produk yang kita jual itu kena pada sasaran dan citarasa pelanggan kita.

3) Mencari pengeluar atau pengilang yang dipercayai

Cari beberapa pengeluar atau pengilang yang boleh dipercayai dan mudah berurusan kerana sekiranya kita memilih pengeluar yang tidak mempunyai ciri-ciri tersebut, maka masalah pada masa akan datang ditanggung oleh pihak kita.

Elakkan pengeluar atau pengilang yang membuat kita was-was seperti kilang yang tidak meyakinkan dari segi kebersihan, tempahan yang selalu lewat dan sebagainya. Perkara seperti ini boleh mengundang kesusahan di masa hadapan.

Jika permintaan produk kita kian meningkat, pengurusan pengilangan dan pembungkusan mestilah menepati masa dan mengekalkan kualiti produk. Pengeluar produk dan pembungkusan mungkin berbeza namun begitu, apa yang paling penting adalah hubungan baik hendaklah dijaga.

Mereka juga seperti kita ingin mencari pelanggan dan keuntungan dalam perniagaan. Masing-masing saling memerlukan, jadi tidak salah jika kita berbuat baik yang akhirnya dapat memudahkan pemprosesan kerja.

4) Fokus membina dan menaikkan jenama

Menggunakan semua platform yang ada sama ada dipasarkan secara offline atau pemasaran secara online dan cari cara bagaimana untuk minimumkan kos tetapi dapat memaksimumkan keuntungan.

Pelbagai cara yang boleh kita buat untuk mendapatkan ilmu sebegini antaranya, menghadirkan diri ke kelas yang menyediakan pembelajaran atau teknik yang betul ataupun mencari kenalan yang sememangnya mahir dalam bidang ini. Dengan cara ini, kita dapat menjimatkan kos dan waktu.

5) Mula menjual, menjual dan terus menjual

Mula menjual dan jangan mengalah. Dalam fasa menjual yang paling banyak usahawan jatuh dan hilang semangat kerana pelanggan menolak produk kita.

Bohonglah jika saya sendiri tidak melalui saat-saat itu. Secara jujur saya ingin memberitahu bukan mudah hendak menaikkan jenama sendiri, tetapi percayalah ia bukan sesuatu yang mustahil.

Berkat doa dan usaha tanpa putus asa pasti akan membuahkan hasil. Saya berharap pengalaman sebegini akan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk berniaga di masa akan datang.

Zeaty Khalif adalah pelajar tahun kedua Bacelor Pengurusan Manusia, Fakulti Ekologi di Universiti Putra Malaysia.