Alibaba Group mencapai GMV yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, walaupun pakar pasaran meramalkan trend menurun terhadap perbelanjaan pengguna di China. Gergasi e-dagang itu menyaksikan kenaikan sebanyak RM21 bilion dalam GMV berbanding tahun lalu, iaitu RM104 bilion.

Temasya membeli-belah 11.11 mendapat banyak perhatian di Malaysia tahun ini apabila kami menyaksikan pelbagai pemain e-dagang menghebahkan promosi menarik dan mewah.

Oleh itu, kami menjalankan analisis untuk mengetahui bagaimana Penjualan 11.11 mempengaruhi tingkah laku pengguna dan berkongsi bagaimana pemain perniagaan e-dagang boleh mempersiapkan diri untuk acara jualan masa depan.

Memastikan pengguna teruja untuk acara Jualan 11.11

Pada Jualan 11.11, kami mencatat kenaikan 47 peratus dalam trafik laman web pada 11 November, dibandingkan dengan tempoh yang sama pada bulan sebelumnya. Menariknya, pengguna mula mencari produk dan promosi seawal pukul 9 malam pada 10 November, sehari sebelum hari jualan. Ini tidak seperti tahun lepas yang mana pengguna hanya mula mencari tawaran jualan 11.11 selepas pukul 11 malam.

Peningkatan minat pengguna dalam penjualan ini dipengaruhi oleh kempen mengujakan yang dianjurkan oleh pelbagai pemain e-dagang untuk mempromosikan hari jualan. Satu contoh ialah Lazada, yang menganjurkan Konsert Lazada 11.11 Super Show secara siaran langsung yang mempersembahkan beberapa selebriti antarabangsa dan tempatan untuk melancarkan kempen jualannya. Pemain e-dagang lain seperti Shopee, 11street, FashionValet dan lain-lain juga menganjurkan kempen jualan 11.11 bagi menguar-uarkan Singles’ Day.

Di samping itu, pelbagai platform e-dagang telah menggalakkan pengguna untuk menyimpan senarai produk kegemaran mereka dalam troli beli-belah dalam talian sebelum hari jualan. Ini mampu mempengaruhi pengguna untuk membeli-belah dalam talian lebih awal pada hari sebelum jualan untuk mengunci tawaran yang diberikan.

Sama seperti tahun sebelumnya, trafik dalam talian meningkat pada pukul 12 tengah malam, 11 November. Lalu lintas dalam talian melonjak sebanyak 86 peratus pada tengah malam apabila dibandingkan dengan tempoh sama pada Oktober. Kejayaan besar trafik dalam talian terbukti apabila pemain utama seperti Lazada, Shopee, dan 11street mengalami masalah dengan pintu pembayaran mereka pada tengah malam.

Membeli-belah dalam talian pada minit-minit terakhir

Menurut kajian mengenai status e-dagang di Malaysia, trafik dalam talian pada hujung minggu biasanya lebih rendah berbanding hari biasa tapi sebaliknya untuk jualan 11.11 trafik dalam talian berkembang pesat pada Ahad, 11 November.

Pada waktu pagi hari jualan, pengguna mula mencari tawaran seawal pukul 8 pagi. Lalu lintas dalam talian jauh lebih tinggi sepanjang hari dan mencapai kemuncaknya pada pukul 8 malam. Ini satu trend yang unik pada tahun ini kerana trafik dalam talian pada tahun sebe­lumnya lebih stabil pada pukul 8 malam.

Trend ini mungkin dipengaruhi oleh peningkatan jumlah promosi yang ditawarkan pada waktu tertentu. Sebagai contoh, laman web seperti Lelong dan 11street menganjurkan program siaran langsung atau tawaran kilat (flash deals) pada waktu tertentu untuk menangkap minat pengguna dalam produk, kategori, atau jenama tertentu.

Satu trend yang berterusan dari tahun sebelumnya adalah pengguna suka berbelanja pada minit terakhir. Ini terbukti kerana terdapat kenaikan pesat dalam trafik laman web di antara pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam, menunjukkan bahawa pengguna membeli-belah untuk tawaran jualan 11.11 dalam minit-minit terakhir.

Carian Paling Popular dengan kata kunci ‘promosi’

Kata kunci popular dicari di Google sebelum dan semasa jualan 11.11 ialah promosi syarikat penerbangan, pasar raya, makanan dan minuman. Sebanyak 46 peratus daripada kata kunci paling popular adalah promosi syarikat penerbangan. Kata kunci syarikat penerbangan yang paling dicari semasa tempoh jualan 11.11 adalah nama jenama seperti ‘AirAsia’, ‘Malindo Air’, dan ‘Malaysia Airlines’.

Kata kunci yang berkaitan de­ngan tawaran pasar raya juga popular seperti ‘Aeon Big’, ‘Tesco’, ‘Giant’, dan ‘Econsave’. Kata kunci makanan dan minuman yang popular adalah ‘Secret Recipe’, ‘Starbucks’, ‘Sukiya’ dan ‘KFC’.

Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan iPrice Group 
(https://iprice.my)