Buat pengetahuan pembaca, indeks pasaran FBM KLCI masih lagi di dalam aliran me­nurun dan belum lagi memperlihatkan tanda-tanda kenaikan atau pantulan teknikal dalam masa terdekat.

Justeru, ramai pelabur dan pedagang saham merasa resah lebih-lebih lagi apabila portfolio mereka menunjukkan kerugian yang bukan sedikit jumlahnya.

Untuk membaiki portfolio pelaburan, pedagang dan pelabur saham perlu tahu membaca carta pergerakan saham berpandukan analisis teknikal. Mereka tidak boleh sembarangan menjual saham yang terdapat di dalam portfolio kerana dikhuatiri saham tersebut berada pada paras terendah ataupun akan berubah menjadi aliran menaik dalam masa terdekat.

Maka, disarankan jika mereka tidak mahir agar mendapatkan nasihat pakar dan profesional untuk hal-hal berkenaan bagi membaik pulih portfolio pelaburan ini.

Kaedah pertama untuk mem­baik pulih portfolio pe­laburan ialah dengan mempunyai modal tunai yang baharu. Dalam artikel terdahulu, Cikgu Saham pernah menyatakan bahawa seseorang yang ingin melabur atau melibatkan diri di dalam dunia saham perlu menggunakan separuh daripada modal yang mereka ada.

Sebagai contoh, modal pelaburan yang dipersetujui ialah RM50,000. Maka, mereka hanya perlu menggunakan RM25,000 untuk membeli saham. Baki RM25,000 lagi akan digunakan untuk perkara berikut:

* Membeli lagi saham syarikat tersenarai yang sama dengan harga yang lebih rendah atau disebut sebagai averaging down.

* Membeli saham syarikat tersenarai yang lain yang lebih berpotensi atau dilihat berpotensi naik dalam masa terdekat.

* Membeli saham syarikat tersenarai yang sama apabila ia menunjukkan tanda-tanda akan mengalami pantulan teknikal atau akan berubah menjadi aliran menaik.

* Membeli saham syarikat tersenarai yang lain yang me­nunjukkan tanda-tanda akan memasuki isyarat membeli.

Kaedah kedua pula ialah dengan cara menjual atau cut loss mana-mana saham syarikat yang tiada potensi naik dalam masa terdekat atau yang tersilap beli.

Tersilap beli boleh jadi tersilap beli waran atau waran berstruktur yang hampir tamat tempoh, saham syarikat yang baru memasuki isyarat menjual, saham syarikat yang te­lah disimpan terlalu lama dan masih tiada peningkatan harga atau saham syarikat tersenarai yang masih mencatatkan kerugian yang banyak dalam tempoh masa yang lama.

Bagaimana caranya untuk memilih apakah saham-saham yang perlu dijual dalam proses baik pulih portfolio?

Terlebih dahulu kita teliti saham-saham yang berada di dalam portfolio. Anda perlu menjual beberapa saham syarikat tersenarai dan bukan ke­semuanya sekaligus serta perlu dibuat berperingkat-peringkat.

Contohnya anda mempunyai enam kaunter di dalam portfolio anda. Daripada enam kaunter tersebut, jual dahulu mana-mana yang telah mencatat keuntungan dan semak kaunter yang mempunyai kerugian yang paling minimum.

Dengan menjual saham yang untung dan saham yang paling sedikit kerugian, ia bermakna anda tidak mengalami apa-apa kerugian kerana kemungkinan keuntungan tersebut me­nyamai kerugian ataupun dengan kata lain rugi tersebut telah dapat ditolak daripada untung yang diperoleh.

Dengan penjualan tersebut, anda telah mempunyai modal yang baharu untuk membeli saham-saham yang berpotensi naik. Sekiranya pilihan anda itu tepat, saham yang baru dibeli itu naik dan sekali lagi anda menjualnya untuk mengambil untung.

Sekarang anda semak semula apakah saham syarikat yang kerugiannya bersamaan dengan untung yang baharu diperoleh atau kurang sedikit daripada untung tersebut? Maka, anda bolehlah menjual saham yang lain pula dalam portfolio anda.

Anda ulangi proses ini sampai kesemua saham yang berada di dalam portfolio telah terjual dan tiada lagi baki saham syarikat tersenarai anda. Ini bermakna anda mendapat balik jumlah modal asal sewaktu anda mula-mula melibatkan diri di dalam urus niaga saham.

Dan setelah anda berjaya mendapat balik modal asal, anda perlu ingat untuk tidak mengulangi kesilapan lampau dan perlu mendisiplinkan diri dalam membuat pelaburan dan urus niaga saham.

Dan yang paling penting, perlu mendapatkan ilmu yang betul dan khidmat nasihat profesional sekiranya anda masih tidak mahir dalam membuat jual beli saham atau membaca carta pergerakan saham.

Semoga dengan keterangan ini, para pembaca dapat membaik pulih portfolio pelaburan yang negatif.