Jumlah dagangan pada penutup pasaran semalam juga tiba-tiba menyusut kepada kurang daripada 2 bilion berbeza de­ngan minggu-minggu sebelum ini. Ini menandakan aktiviti jual beli telah berkurangan pada penghujung tahun. Topik tentang sentimen pasaran pada hujung tahun telah pun dibincangkan pada siri yang lepas.

Apakah yang jangkaan impak daripada kejatuhan FBM KLCI ini? Seperti yang umum ketahui, turun naik indeks pasaran saham dipengaruhi oleh saham-saham berkaitan indeks yang merangkumi saham mewah terdiri daripada 30 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Dan sekiranya indeks pasaran keseluruhan jatuh, ia tidak bermakna kesemua saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga turut jatuh.

Jika kita lihat pada paparan skrin, setiap hari akan ada beberapa kaunter yang naik. Tidak kira sama ada sentimen lemah ataupun pasaran dalam aliran menurun sekalipun.

Kaunter-kaunter yang naik ini boleh jadi saham-saham berharga sederhana atau lo­wer li­ner iaitu yang berharga di bawah RM1 ataupun saham-saham daripada pasaran ACE.

Walau bagaimanapun, sekiranya kejatuhan indeks pasaran berlaku, kaunter-kaunter jatuh lebih banyak daripada kaunter naik. Dan kadang-kala terdapat saham-saham yang bersifat spekulasi mengalami kejatuhan yang drastik disebabkan penjualan yang berterusan atau pengambilan untung yang ba­nyak. Juga kejatuhan yang di­sebabkan aktiviti pasaran luar biasa atau UMA.

Justeru, sekiranya kejatuhan indeks pasaran berlaku secara berterusan, tidak mustahil pelabur dan pedagang saham mengalami kerugian sama ada kerugian sebenar ataupun kerugian di atas kertas.

Satu kaji selidik telah dibuat baru-baru ini terhadap pengikut laman Facebook Cikgu Saham yang merupakan pelabur dan pedagang saham. Daripada beberapa soalan yang ditanya di dalam kaji selidik ini, rumusannya adalah seperti berikut:

  • Tidak menjual semasa harga naik.
  • Menjangkakan harga sa­ham yang dibeli akan naik lagi.
  • Membeli saham tanpa ilmu atau tiada bimbingan.
  • Membeli waran yang menghampiri tempoh tamat dan tidak mengetahui makna sebenar waran.
  • Membeli terlalu ba­nyak saham dalam satu masa.
  • Membeli saham dalam unit yang kecil lebih-lebih lagi saham penny.

Dan yang lebih mengejutkan lagi, ada yang telah menghadiri seminar saham berbayar tetapi masih tidak mendapat teknik jual beli yang betul atau masih mengalami kerugian.

Dalam kes ini saya mencadangkan kepada mereka untuk menghadiri seminar atau bengkel saham yang dianjurkan oleh pemegang lesen berdaftar iaitu dealer dan remisier atau anjuran syarikat broker saham, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Seterusnya membuka akaun urusniaga saham dengan wakil peniaga ini.

Ini kerana wakil peniaga ini sentiasa berada di depan skrin dan mereka merupakan tempat untuk meminta had membeli, menguruskan pinjaman saham IPO, memohon saham di bawah tawaran persendirian dan sebagainya.

Wakil peniaga berdaftar ini serta broker saham merupakan tempat pertama kali pelabur dan pedagang saham membuka akaun urusniaga saham. Maka, tidak boleh disangkal lagi, me­rekalah yang layak untuk memberi pendidikan dan bim­bingan saham kerana ia merupakan bidang tugas wakil peniaga berdaftar untuk memberi khidmat kepada orang ramai.

Bagaimanakah cara pelabur dan pedagang saham membaikpulih portfolio yang mengalami kerugian? Perlu ditekankan di sini, kebanyakan pendidikan atau seminar saham tidak menerapkan atau mengajar cara-cara membaikpulih portfolio yang mengalami kerugian.

Kadang-kala kerugian ini bukan disebabkan kejatuhan pasaran saham tetapi disebabkan tindakan atau kesilapan pelabur dan pedagang saham itu sendiri. Juga, mereka tidak mendapatkan nasihat pada peringkat awal untuk membaiki portfolio pelaburan sebelum menjadi lebih teruk.

Cara membaiki portfolio pe­laburan ini mempunyai dua kaedah. Cara yang pertama ia­lah pelabur atau pedagang saham perlu mempunyai modal tunai yang baharu. Dan cara yang kedua ialah dengan cut loss saham-saham di dalam portfolio pelaburan untuk menjadikannya modal baharu membeli saham syarikat tersenarai yang lebih berpotensi.

Saya akan huraikan dua kaedah ini pada minggu hadapan.