Fasa ketiga projek itu yang sepatutnya dilancarkan pada tahun depan dipercepatkan ekoran permintaan yang menggalakkan daripada pembeli, malah projek kediaman fasa pertama dan keduanya sudah habis ditempah selepas dua hari pelancarannya.

Ketua Pegawai Operasi, Komersial UEM Sunrise, Raymond Cheah berkata, dengan perkembangan itu, syarikat juga berjaya merekodkan penjualan Melia Residences sebanyak RM206 juta tahun ini, melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM196 juta.

“Kita menjangkakan projek pembangunan Melia Residences itu akan mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan pada suku keempat tahun ini,” katanya kepada pemberita di Mall Of Medini, di sini hari ini.

Melia Residences dibangunkan di kawasan seluas 29.8 hektar melibatkan pembinaan 625 unit kediaman berstrata dalam lima fasa dengan GDV RM573 juta dan dijangka siap menjelang tahun 2020.

Pembangunan tersebut merupakan sebuah presint kediaman pertama UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya, sebuah kawasan yang bakal menjadi pembangunan pemangkin pusat komersial dan perniagaan Iskandar Puteri di negeri ini.

Cheah berkata, fasa pertama dan kedua Melia Residences melibatkan pembangunan perumahan, masing-masing 107 dan 99 unit manakala fasa ketiga membabitkan projek kediaman sebanyak 160 unit.

Menurutnya, fasa keempat dan kelima Melia Residences pula dijadual dilancarkan pada tahun depan.