Berdasarkan sejarah sebelum ini, Malaysia pernah meng­hulurkan bantuan melalui misi pengaman yang disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika negara tersebut bergolak.

Kini selepas lebih 20 tahun tamatnya konflik, negara ini menjadi lokasi pilihan utama bagi rakyat Malaysia disebabkan beberapa faktor seperti kos, sejarah dan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin sebelum ini.

Malah negara yang berjiran dengan Croatia, Serbia dan Montenegro ini ada keunikan tersendiri dengan pelbagai dorongan antaranya alam semu­la jadi, sejarah dan juga gadisnya!

Apa yang menarik, kos untuk melancong ke Bosnia Herzegovina yang menggunakan mata wang ‘Bosnia Mark’ dan juga menerima mata wang Euro tidaklah mahal sebagaimana negara lain.

Di samping itu negara ini juga mempunyai beberapa tempat sesuai seperti Jahorina dan Blidinje untuk melakukan aktiviti ski pada musim sejuk walaupun ia tidaklah popular jika dibandingkan seperti Austria atau Switzerland.

Ada yang bertanya apakah uniknya negara yang mempu­nyai sejarah hitam dengan puak Serb pada tahun 1992 sehingga 1995 ini? Mungkin beberapa perkara harus dipertimbangkan jika ingin melawat negara ini antaranya:

1. Visa

Tidak memerlukan visa bagi rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun pihak berkuasa di negara ini akan me­minta anda mengisi borang dan memberikan kad seakan-akan permit. Jika pelancong memasuki negara ini dari Croatia, anda akan melepasi beberapa dae­rah dan perkampungan termasuk Kamensko, sebuah da­erah yang agak cantik.

2. Tahap keselamatan

Tidak perlu risau berkenaan tahap keselamatan di negara ini walaupun menduduki tempat ke-84 daripada 163 negara berdasarkan Indeks Keamanan Global. Semuanya selamat dan aman walaupun pernah dilanda peperangan.

Tidak keterlaluan dikatakan tahap keselamatan di sini mungkin lebih baik jika diban­dingkan beberapa negara maju yang lain. Negara ini juga boleh dikategorikan sebagai ‘mesra’ kepada pelancong. Cuma perlu berhati-hati dengan pemandu teksi (yang hampir sama di seluruh dunia) gemar mengambil kesempatan walaupun beranggapan orang Islam merupakan saudara seagama mereka.

3. Kos perbelanjaan

Kos mungkin sedikit me­ningkat jika dibandingkan beberapa tahun ketika saya ke negara ini. Tetapi anggaran bagi satu malam di hostel adalah antara RM40 sehingga RM70 seorang. Begitu juga dengan kos makanan iaitu antara RM20 sehingga RM30 sehari atau mungkin mencecah RM50 jika di restoran.

4. Pengangkutan

Sistem pengangkutan di sini tidaklah moden dan tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda dari Sarajevo dan mahu ke Mostar, perkhidmatan bas dan kereta api ada disediakan yang mengambil masa dua jam perjalanan. Perkhid­matan kereta sewa turut di sediakan. Selain itu, jika pelancong ingin berge­rak dari satu tempat ke satu tempat di Saravejo, mereka boleh menggunakan bas perantara sama se­perti di Kuala Lumpur.

5. Makanan

Anda perlu mencuba beberapa makanan popular di sini antaranya Cevapi, Burek dan kopinya yang berasa seakan-akan kopi dari negara Turki. Tidak perlu saya ceritakan secara terperinci apakah sebenarnya makanan tersebut, Yang pasti cuba dahulu baru tahu.

6. Bahasa

Penduduk di sini menggunakan bahasa mereka sendiri dan juga bahasa Serbia serta Croatia. Tetapi jangan bimbang kerana majoriti golongan muda di sini boleh bertutur Bahasa Inggeris.