Untuk makluman pembaca, sekiranya pelabur atau pedagang saham mempunyai pengetahuan tentang perkara ini, maka amatlah mudah untuk membuat jadual atau pelan perancangan pelaburan.

Sehubungan itu, pelabur yang mempunyai pengetahuan tentang perkara tersebut boleh membuat strategi pelaburan yang lebih bersistematik dan tidak perlu menghabiskan ba­nyak masa untuk melihat pergerakan pasaran sepanjang masa.

Pelabur dan pedagang yang bjiak akan memasuki pasaran apabila pasaran mempunyai peluang walaupun ketika meng­a­lami aliran menurun. Mereka juga hanya membuat analisis saham berpotensi pada bila-bila masa yang dikehendaki dan tidak perlu kerap secara harian.

Melabur dan berurusniaga saham memerlukan fikiran yang tenang dan tenteram, justeru, tidak perlu menyukarkan atau memaksa diri membuat analisis saham secara kerap walaupun melakukan urus niaga saham secara agresif.

Ambil masa untuk menyusun strategi baharu berdasarkan maklumat yang ditulis di rua­ngan ini untuk melabur secara tenang dan bijak.

Melabur untuk jangka panjang atau pendek adalah pilihan masing-masing berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

Jumlah modal saham

Biasanya pelabur jangka panjang mempunyai jumlah modal yang agak besar berban­ding pelabur jangka pendek. Pelabur jenis ini mempunyai lebihan wang yang banyak untuk diperuntukkan di dalam pasaran saham.

Terdapat pelabur jangka panjang membeli saham-saham yang mempunyai asas fundamental yang kukuh selain daripada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod pembayaran dividen yang baik.

Masa terluang untuk melihat pergerakan pasaran

Pelabur jangka singkat amat memerlukan laporan penyelidikan daripada syarikat broker saham lebih kerap kerana mereka selalu memasuki pasaran. Golongan ini juga sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa pasaran dan membuat kajian atau analisis saham de­ngan kerap.

Tidak hairanlah jika golongan ini yang ramai menyertai kumpulan-kumpulan di media sosial sama ada kumpulan Facebook, Whatsapp mahupun Telegram yang menyediakan petua-petua membeli saham atau buy call harian.

Masa untuk membuat analisis saham

Pelabur bijak dan berpengalaman selalunya membuat analisis saham sebelum membuat keputusan untuk membeli saham-saham tertentu. Pada masa ini ramai telah menyedari kepentingan membuat kajian saham berbanding ketika zaman 90-an dahulu.

Kesedaran tentang kepen­tingan mempunyai ilmu analisis teknikal dan fundamental tercetus dengan adanya bengkel dan seminar saham yang menekankan tentang perlunya pengetahuan dari segi analisis teknikal dan fundamental sebagai panduan untuk membeli saham.

Dengan pengetahuan yang disertakan bersama amali, pelabur dan pedagang saham berpotensi mengelakkan kerugian ataupun sekurang-kurangnya meminimumkan kerugian disebabkan kesilapan atau situasi luar jangka pasaran.

Masa mengikuti perkembangan pasaran

Tidak dinafikan terdapat ramai pelabur yang tidak peka atau ambil tahu perkembangan pasaran tempatan mahupun global dan berita-berita syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Walau bagaimanapun, beri­ta-berita berkaitan pasaran saham boleh didapati di platform dagangan dan aplikasi saham yang boleh dimuat turun di te­lefon bimbit. Dengan mengambil tahu perkembangan pasaran dan syarikat tersenarai boleh membantu pelabur dan pedagang saham membuat keputusan dengan lebih bijak dan cepat sebelum pasaran naik ataupun jatuh.

Kecekapan membuat keputusan

Pedagang jangka pendek adalah berbeza dengan pelabur jangka panjang, justeru, pedagang jangka pendek perlu membuat keputusan yang cepat untuk membeli saham mahupun menjual lebih-lebih lagi pedagang harian dan kontra.

Pedagang jangka singkat ini boleh meletakkan pesanan awal untuk menjual atau membeli sekiranya sibuk sepanjang masa ataupun dengan memberi arahan kepada pedagang atau remisier untuk memantau harga saham termasuk memberi arahan menjual atau membeli saham bagi pihaknya.

Bahkan, pedagang saham boleh memberitahu harga-harga yang ingin dibeli atau jual, nama syarikat tersenarai dan kuantiti saham tersebut untuk pedagang atau remisier memasukkan pesanan tersebut ke dalam sistem komputer.

Dengan memahami dan menghafal corak atau trend pasaran saham, adalah lebih mudah bagi pelabur dan peda­gang saham mengimbangi aktiviti urus niaga saham de­ngan rutin kehidupan harian supaya tenang dan tenteram walaupun ketika iklim pasaran tidak berapa baik atau suram.

Kepada yang ingin mempelajari cara menjana pendapatan di pasaran saham sila hubungi talian 019-2352037 dan untuk perisian carta 013-3899162.