Berdasarkan kaji selidik Kantar TNS, hal itu ternyata berbeza dengan negara Asia Tenggara lain seperti Filipina dan Indonesia yang masing-masing menunjukkan 59 peratus dan 61 peratus pengguna­nya percaya kandungan dalam talian.

Pengarah Urusan Kantar TNS Malaysia, MC Lai berkata, disebabkan itu, jenama berhadapan de­ngan kesukaran untuk berhubung melalui saluran itu kerana kurang­nya kepercayaan walaupun terdapat ketersambungan yang tinggi.

“Rakyat Malaysia menghabiskan sebahagian besar masa mereka secara dalam talian. Kita sentiasa terhubung dengan internet melalui peranti mudah alih, kos dan kelajuan data yang semakin baik.

“Walau bagaimanapun, mereka yang memasarkan produk perlu sedar bahawa rakyat Malaysia bukan sasaran mudah dalam dunia digital hari ini jika dibandingkan dengan negara-negara memba­ngun rantau ini.

“Sebenarnya pengguna di Malaysia tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca di internet malah kurang selesa dengan jenama yang mengumpulkan data peribadi mereka.

“Jadi jenama perlu lebih menonjol dan menunjukkan nilai yang mampu menambah baik kehidupan pengguna jika mahukan kepercayaan mereka, di samping me­mastikan saluran itu digunakan untuk perbincangan yang le­bih bermakna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kajian Connected Life ber­kenaan melibatkan seramai 70,000 responden di 56 buah negara termasuk 104 temubual bagi mengkaji kepercayaan pengguna berdasarkan empat aspek iaitu teknologi, kandungan, data dan e-dagang.

Selain itu, kajian juga mendapati hampir satu pertiga atau 31 peratus pengguna Malaysia juga bimbang tentang sejauh mana rangkaian media sosial mempunyai kawalan ke atas kandungan yang dibaca di internet.

Namun, kajian menunjukkan pengguna tidak terlalu sinis dengan 41 peratus mempercayai jenama global seperti pasaran memba­ngun lain contohnya Vietnam (54 peratus), tetapi ia tidak signifikan di pasaran lain seperti Australia (19 peratus).