Pengarah Kanan Pengurusan Strategik dan Perbendaharaan Yapeim, Parihah Hassan berkata, yayasan berkenaan sudah me­ngenal pasti rakan kongsinya di negara itu untuk memulakan operasi cawangan tersebut.

“Proses perbincangan itu sudah berlaku, jadi pihak di sana sedang memperhalusi terma-termanya. InsyaAllah dalam masa terdekat tiga atau empat bulan lagi,” katanya dalam sidang akhbar pada program Inspirasi Ramadan Yapeim peringkat negeri di Masjid Asy-Syakirin di sini semalam.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengurus Besar Pejabat Pe­ngarah Pentadbiran dan Sumber Yapeim, Arshad Sian dan turut hadir Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohd. Raauf Ali.

Menurut Pariah, Yapeim me­nu­buhkan sebuah sekretariat Ar-Rahnu pada awal 2000 yang ba­nyak memberi sumbangan dalam bentuk konsultasi dan perkhidmatan patuh syariah kepada negara-negara serantau.

“Kita juga pernah berbincang dengan negara-negara serantau lain seperti Kemboja dan melakukan kajian pasaran di Sri Lanka tetapi perkara itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira akta serta keperluan masyarakat setempat di negara berkenaan,' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Yapeim yang mempunyai 212 cawangan di seluruh negara merancang untuk memperluaskannya menerusi kaun­ter-kaunter bergerak khususnya bagi memberi perkhidmatan Ar-Rahnu kepada penduduk di luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak menggunakan van.

Di Semenanjung katanya, Yapeim mempunyai enam buah bas yang bergerak di kawasan yang tiada cawangan statik selain tiga buah van untuk perkhidmatan Ar-Rahnu Bergerak.