Md. Zubir Ansori Yahaya
Md. Zubir Ansori Yahaya

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Md. Zubir Ansori Yahaya berkata, peruntukan itu dijangka boleh memberi manfaat kepada 20 hingga 25 syarikat startup meliputi pelbagai bidang perniagaan.

Katanya, modal perniagaan startup tidak terhad kepada sesetengah sektor sahaja kerana sekiranya sesebuah syarikat itu menceburi segmen fesyen mahupun perkhidmatan tetapi menggunakan teknologi sebagai modus operandi, mereka layak membuat pinjaman MDV.

Jelasnya, pembiayaan dana berkenaan akan dibuat dalam bentuk pembiayaan teroka berbeza dengan pembiayaan projek dan kontrak yang memerlukan pembayaran segera.

Ini kerana, jelas beliau, usahawan teknologi baharu seperti Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) pada dasarnya masih belum merekodkan perolehan malah produk mereka belum lagi dikomersialkan.

“Seperti contoh, pembiayaan projek solar atau menara memerlukan syarikat terlibat untuk membayar semula selewat-lewatnya selepas lima bulan projek bermula kerana hasilnya sudah dapat dilihat.

“Berbeza dengan pembiayaan teroka kepada startup, syarikat berkenaan tidak meraih keuntungan dalam waktu terdekat justeru ia harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

MDV menyasar untuk membiayai operasi lebih 300 syarikat dalam tempoh 20 tahun akan datang melalui pengeluaran berpotensi berjumlah RM4 bilion, dikumpul daripada dana ketiganya bernilai RM1 bilion yang dilancarkan September lalu.

Md. Zubir berkata dana itu, yang dikumpulkan melalui Nota Jangka Sederhana Islam (iMTN), dijangka membiayai antara 400 dan 500 projek, kebanyakannya dalam Industri 4.0.

“Buat masa ini, kami akan me­numpukan (pengeluaran pembia­yaan) kepada teknologi baharu, iaitu antaranya kepintaran buatan, realiti maya, realiti berperantara dan percetakan 4D,” jelasnya.

Sejak ditubuhkan pada 2002, MDV telah mengeluarkan pembiayaan lebih RM11 bi­lion kepada lebih 680 syarikat teknologi, membolehkan mereka me­nyempurnakan dan menye­rahkan kira-kira 773 projek dalam pelbagai bidang teknologi.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan 82 peratus daripada syarikat yang menerima pembiayaan. Daripada jumlah itu 68 peratus adalah syarikat bumiputera.