Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood berkata, sehubungan itu, MDEC melaksanakan beberapa langkah yang berkesan di bawah Jawatankuasa Lembaga Audit termasuk melibatkan konsultan pihak ketiga yang boleh dipercayai untuk menjalankan Business Process Reengineering dan forensik audit secara berterusan bagi membuat pengesahan terhadap isu-isu berkaitan.

Dalam masa sama ujarnya, proses kelulusan juga dibentuk semula dengan menjadikannya sebagai sistem kelulusan berasaskan jawatankuasa dan semua perubahan itu berkuat kuasa sejak pertengahan 2017.

“Perubahan yang kami laksanakan ini bermula apabila melalui proses audit yang dijalankan pada 2016 didapati wujudnya isu-isu berkaitan Proses Kelulusan dan Tadbir Urus Pengetahuan Pekerja Asing (FKW), yang bertentangan dengan asas MDEC yang teguh.

“Jadi sejak itu, kami terus mencari masa yang betul dan melakukan penambahbaikan bagi menjaga kepentingan ketelusan. Malah, isu-isu yang ditemui ketika melaksanakan audit tersebut juga telah dimaklumkan dan dilaporkan kepada pihak berkaitan.

“Ini pastinya bukan satu tugas yang mudah kerana memerlukan komitmen, kesabaran dan paling penting ialah keberanian terutama berdepan dengan banyak halang­an dan juga orang yang menentang perubahan positif ini untuk proses yang lebih adil dan telus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai satu daripada agensi penting kepada negara, MDEC turut mengambil inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang me­­­nyaksikan Pengurusan Kanan MDEC adalah kumpulan pertama yang tampil secara sukarela untuk melalui audit dan pemeriksaan tersebut.

Katanya, beliau sangat gembira dengan nilai-nilai teras dan integriti yang ditunjukkan itu bukan sekadar kenyataan korporat tetapi pasukan tersebut menunjukkan contoh yang baik walaupun proses itu kemungkinan menyusahkan dan membosankan.

“Dengan ikrar tersebut, ini bermakna SPRM mempunyai akses secara langsung kepada kami, semua kakitangan dan tidak terke­cuali, termasuk saya sendiri. Sebenarnya saya amat mengagumi dan menghormati pendirian Pengerusi MDEC, Tan Sri Sidek Hassan terhadap Toleransi Sifar atau ZeTo dalam usaha menentang rasuah.

“Ini secara tidak langsung meletakkan MDEC sebagai syarikat yang juga harus mengamalkan dan menerapkan ZeTo dalam apa jua bentuk rasuah,” katanya.

Katanya, bukti menunjukkan apabila ekonomi digital menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan ia dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

“Bagaimanapun, transformasi budaya korporat akan menjadi lebih mencabar. Ada satu ketika, saya dan pasukan MDEC perlu membuat satu keputusan yang sukar bagi memastikan nilai teras dan integriti diteruskan dan kekal dalam apa jua yang kami lakukan.

“Kami cuma mahu melakukan proses transformasi dan menjadi lebih telus...seterusnya dilihat akan lebih telus pada masa-masa akan datang,” katanya.

Di samping itu, kata beliau, MDEC juga membangunkan Kod Etika dan Menjalankan Perniagaan sebagai satu daripada komitmen membantu negara mengembangkan potensi ekonomi digital dapat dicapai sepenuhnya.