Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, sebanyak empat Hab Digital telah diwujudkan tahun ini iaitu APW, Common Ground, The Co. dan WORQ, yang kesemuanya terletak di Lembah Klang.

Walau bagaimanapun katanya, fokus utama bukan untuk menambah bilangan, tetapi terus memperkayakan empat komuniti Hab Digital sedia ada kerana sasaran asal hanya membuka tiga buah hab pada tahun ini.

“Kita tidak mengejar nombor kerana kita telah melepasi sasaran asal untuk membuka tiga Hab Digital tahun ini kepada empat buah. Jadi, kita mahu memperkaya dan mengukuhkan lagi komuniti sedia ada ini.

“Tetapi kita juga harus berkembang untuk memenuhi permintaan di luar Lembah Klang dengan kemungkinan di Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui pada pengumuman kerjasama bersama Axiata Digital di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd. Khairil Abdullah dan Ketua Mobile Internet Fulfilment Exchange (MIFE), Karim Malik.

MDEC bersama Axiata Digital memperluaskan platform Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) dikenali sebagai MIFE kepada perniagaan di Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau.

Yasmin berkata, platform MICE akan meningkatkan lagi akses pasaran buat syarikat-syarikat permulaan (start-up) di Malaysia kepada asas pelanggan serantau Axiata di lapan buah negara ASEAN dan India.

“MICE adalah satu inisiatif untuk menawarkan pengalaman dan peluang yang lebih besar kepada perniagaan digital tempatan bagi mendapat akses kepada pasaran serantau dengan lebih 625 juta penduduk.

“Ini adalah antara usaha kita untuk menggalakkan start-up memacu inovasi kerana mereka adalah pencipta pekerjaan yang mampu menarik golongan muda dengan misi tersendiri pada masa depan,” katanya.