Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di Rembau, Negeri Sembilan dan dijangka siap pada penghujung November 2018.

Katanya, pembiayaan secara Islamik itu merangkumi RM19 juta Jaminan Prestasi-i secara Kafalah dan RM228 juta menerusi pembiayaan jangka panjang dengan had surat kredit sebanyak RM137 juta melalui konsep Tawarruq dan Kafalah.

“Projek ini bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat seperti peluang pekerjaan serta prospek perniagaan kepada per­usahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami optimis akan kejayaan projek ini dan bersedia mempertimbangkan lebih banyak pembiayaan dalam sektor ini pada masa depan,” kata­nya dalam majlis menanda­tangani perjanjian pembiayaan MBSB dan Solar Management di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib serta Pengarah Solar Management, Tee Cheng Hua dan Jane Tee.

Terdahulu, MBSB yang diwakili oleh Ahmad Zaini dan Cheng Hua mewakili Solar Management menandatangani perjanjian pembiayaan secara Islamik dan disaksikan oleh Nor Azam dan Tee.

Dalam pada itu, Cheng Hua berkata, ladang solar berkenaan melibatkan kawasan seluas 81 hektar dengan nilai kontrak RM285 juta.

Menurut beliau, pihaknya telah melantik Mattan Engineering Sdn. Bhd. (Mattan) sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC).

“Mattan bertanggungjawab untuk mereka, membina dan menjalankan kerja-kerja operasi di tapak projek. Selain itu, mereka bekerjasama dengan syarikat China Machinery Engineering Corporation (CMEC) yang akan membekalkan bahan dan peralatan,” ujarnya.