Ahmad Zaini Othman
AHMAD ZAINI OTHMAN

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pihaknya sehingga kini telah menyalurkan pembiayaan pinjaman PKS mencecah RM2 bilion.

Katanya, MBSB hari ini menandatangani perjanjian dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) untuk menawarkan kemudahan pinjaman patuh syariah bernilai RM500 juta di bawah Skim Pembiayaan Vendor TM.

“MBSB akan menyediakan pembiayaan kira-kira RM3 juta bagi setiap vendor bergantung kepada nilai kontrak yang diperoleh oleh vendor berkenaan.

“Pinjaman ini akan dapat menambah baik ekosistem vendor TM secara keseluruhan,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani kerjasama di antara MBSB dan TM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman.

Kemudahan pinjaman tersebut akan memberi peluang kepada vendor TM untuk meningkatkan keberkesanan dan skala perniagaan mereka seterusnya menjadikan syarikat lebih berdaya saing serta kukuh.

Sementara itu, Baz­­lan berkata, TM memiliki kira-kira 1,000 vendor termasuk PKS berskala sederhana dan besar yang berpeluang memanfaatkan pembiayaan pinjaman.

“Kerjasama dengan MBSB ini antara inisiatif kami untuk memperkasakan vendor bumiputera dengan membina kepakaran dan kapasiti.

“Di bawah skim pembiayaan ini, vendor TM akan dapat menikmati kadar pinjaman asas (BLR) yang kompetitif,” jelas beliau.